Mayat lelaki terjun Sungai Kerian ditemui
PARIT BUNTAR - Teka-teki mengenai nasib seorang lelaki dilaporkan terjun ke dalam Sungai Kerian dari atas Jambatan Sungai Kerian, di sini semalam terjawab apabila pihak penyelamat menemui mayat mangsa berhampiran lokasi kejadian di sini awal pagi tadi.
Mangsa, K Palaninathan, 53, yang tinggal di Taman Kerian Tambahan, di sini dipercayai terjun ke dalam Sungai Kerian atas punca tidak diketahui sebelum mayatnya ditemui pasukan pencari dan penyelamat (SAR) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar pada jam 4.20 pagi.
Ketua Operasi BBP Parit Buntar, PBK 1 Ahmad Rossyed Isa berkata, operasi pencarian mangsa sudah dimulakan sejak semalam dengan kekuatan logistik sembilan bot daripada pelbagai agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat di sekitar parameter lokasi mangsa terjun masih gagal menemui sebarang petunjuk sebelum lokasi pencarian diperluaskan.
"Operasi S&R semalam ditangguhkan pada jam 8 malam sebelum disambung semula awal pagi tadi oleh sejumlah 26 anggota bertugas dari pelbagai agensi.
"Hasilnya pihak kami berjaya menemui mayat mangsa dalam jarak dua meter dari lokasi mangsa dipercayai terjun.
"Mangsa berjaya ditemui pada jam 4.20 pagi melalui operasi pencarian dengan kaedah 'surface searching' dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada media di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob sewaktu dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai tindakan mangsa terjun ke dalam Sungai Kerian menerusi Jambatan Sungai Kerian pada jam 2.55 pagi semalam.
"Siasatan polis di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai meninggalkan sebuah telefon bimbit, sekotak rokok, pemetik api dan sepasang selipar di lokasi kejadian.
"Polis masih menyiasat motif mangsa terjun ke dalam sungai dan dikenal pasti sebagai warga tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!