Selangor umum status bekalan ayam Isnin depan
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengumumkan status bekalan ayam yang didakwa semakin berkurang di negeri tersebut pada Isnin depan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, maklumat terperinci tentang isu tersebut akan didapatkan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurutnya, perkara tersebut akan turut dibincangkan bersama Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Izham Hashim.
"Kita kena tengok maklumat sebenar dahulu. Adakah kerana unsur bekalan kurang ataupun mungkin elemen lain. Jadi Isnin ini kita tengok.
"Saya bincang dahulu dengan Izham apa masalahnya sebab kalau bekalan memang di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), KPDNHEP hanya jaga harga barang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutup Kursus Perdana Musim Haji 1443 Hijrah Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang pada Sabtu.
Pengerusinya, Idrus Zainal Abidin berkata, permasalahan tersebut disebabkan isu bekalan berpunca ayam sakit.
Katanya, sebanyak tujuh peratus atau melibatkan ribuan anak ayam dari rebannya mati disebabkan sakit, malah masalah sama turut dihadapi oleh kebanyakan penternak di Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!