Perak FC kecundang di laman sendiri

UiTM FC menewaskan tuan rumah 2-0 pada perlawanan Liga Premier di Stadium Perak di sini pada Sabtu.
UiTM FC menewaskan tuan rumah 2-0 pada perlawanan Liga Premier di Stadium Perak di sini pada Sabtu.
A
A
A

PERAK FC kecundang di laman sendiri apabila tewas di tangan UiTM FC pada perlawanan Liga Premier di Stadium Perak di sini pada Sabtu.

Perlawanan pada 10 minit awal perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan mengatur gerak ke kubu lawan.

Tuan rumah mendapat peluang menerusi sepakan percuma pada minit ke-11 namun percubaan Muhammad Hakimi Isa tersasar ke sebelah kanan pintu gol.

Selang beberapa minit, UiTM FC pula mendapat dua sepakan percuma namun kedua-duanya gagal menembusi gawang gol Perak FC.

Babak pertama juga menyaksikan beberapa kekasaran pemain melibatkan kedua-dua pasukan.

Dua pemain Perak FC menjadi pemain terawal yang dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Muhammad Munir Mohd Izam sebelum tamat babak pertama.

Tamat babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan.

Bersambung babak kedua, UiTM FC membuat pertukaran pemain pertama dengan membawa masuk Muhammad Alif Safwan menggantikan Muhammad Amir Adha Mohd Latif.

Perak FC lebih garang pada awal babak kedua permainan dengan beberapa tekanan diberikan kepada barisan pertahanan lawan.

Melihat kepada situasi itu, UiTM FC membawa masuk dua pemain baharu, Muhammad Eizrul Ashraf dan Farez Aiman menggantikan Zharif Nazhan Refli dan Rafie Mat Yaacob.

Perubahan pemain itu nyata membuahkan hasil apabila pasukan pelawat berjaya memperoleh gol pertama selepas Izman Solehin Rohadi menyudahkan hantaran sepakan percuma menjadikan kedudukan 0-1 di Stadium Perak.

Tersentak dengan gol itu, Yusri Che Lah membuat pertukaran pertama pemain dengan mengeluarkan Aidril Faqir Yousni dan memasukkan Alif Zikri Zaini Anuar.

Perlawanan kemudiannya kembali rancak dengan Perak FC mengatur gerak untuk mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun, UiTM FC menambah derita tuan rumah dengan satu lagi jaringan menerusi penyerang mereka, Farez Aiman pada minit ke-82.

Kedudukan 0-2 berjaya dipertahankan oleh pasukan pelawat sehingga ke wisel penamat biarpun Perak FC cuba menggandakan asakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!