Polis kesan pemandu Waja lawan arus
PETALING JAYA - Polis sedang mengesan pemandu kereta jenis Proton Waja yang tular memandu melawan arus di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), berhampiran pusat beli-belah Paradigm Mall di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada Sabtu jam 6 petang pihaknya terkesan dengan video rakaman kamera papan pemuka memaparkan kejadian tersebut yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook.
"Kejadian itu dipercayai berlaku pada 19 Mei pada jam 5.10 petang sebelum ia tular di Facebook.
"Kejadian tersebut tidak melibatkan kemalangan dan kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain. Setakat ini kita masih lagi dalam usaha mengesan pemandu tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau memohon pemilik asal rakaman tersebut supaya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk memberi keterangan.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada undang-undang trafik untuk mengelak daripada berlakunya kemalangan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!