Bekalan habis cepat, peniaga balik awal

Pelanggan menyerbu sebuah kedai menjual ayam segar di Pasar Besar Alor Setar pada Sabtu.
Pelanggan menyerbu sebuah kedai menjual ayam segar di Pasar Besar Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Masalah kekurangan bekalan ayam segar turut berlaku di Pasar Besar Alor Setar di sini apabila kebanyakan peniaga menutup premis lebih awal susulan kehabisan stok.

Tinjauan di pasar besar mendapati hampir semua kedai menjual ayam sudah ditutup dan ada yang sedang membersihkan lot niaga mereka.

Peniaga, Mohd Lutfi Abdul Ghani, 62, berkata, lot niaganya ditutup lebih awal berbanding hari biasa disebabkan bekalan ayam semua telah habis dijual.

“Sebelum ini, saya menempah 600 ayam sehari daripada pembekal, namun hanya menerima sekitar 120 ayam sahaja sejak Aidilfitri.

“Ramai pelanggan menyerbu ke kedai untuk membeli ayam, jadi saya segera menutup kedai apabila bekalan habis licin kerana tak sanggup lihat pelanggan kecewa,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Tambah Mohd Lutfi, bekalan diterima tidak mencukupi sejak Syawal lepas menyebabkan dia tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.

Seorang lagi peniaga, Mohd Zahir Zainal Abidin, 68, berkata, dia juga menutup lot kedainya seawal jam 10 pagi akibat kekurangan bekalan ayam segar.

“Dalam jam 10 pagi, bekalan ayam dijual telah habis licin. Keadaan ini sebenarnya telah berlarutan sejak selepas sambutan hari raya lalu,” jelasnya.

Bagi Wan Mohd Afiq Wan Ahmad Fauzi, 25, pula, peniaga biasanya sudah mengasingkan kepada pelanggan yang membuat tempahan awal.

“Kalau pelanggan walk-in datang awal, mereka berpeluang dapat ayam. Tapi kalau lambat, susah sedikit sebab ketika ini kita utamakan pelanggan membuat tempahan awal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!