Rangnick dedah rahsia....
KEKECEWAAN terbesar sepanjang mengendalikan Manchester United musim ini adalah kegagalan membentuk kembali semangat berpasukan dalam kalangan para pemain The Red Devils.
Itu luahan hati pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick yang menggantikan Ole Gunnar Solskjaer selepas bekas bintang The Red Devils tersebut dipecat berikutan kekalahan 1-4 kepada Watford pada November lalu.
Pengendali berusia 63 tahun itu, yang akan mengetuai pasukan buat kali terakhir pada Ahad sebelum Erik ten Hag mengambil alih penghujung musim ini berkata, Manchester United hilang keyakinan selepas disingkir sensasi La Liga Sepanyol, Atletico Madrid dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.
"Kami telah berusaha menstabilkan semula pasukan selepas kekalahan kepada Atletico Madrid, dan kini bahagian pertahanan kian stabil."Sejujurnya sejak tewas kepada Atletico Madrid, kami tidak menemui gaya permainan kelab yang sebenarnya. Saya melihat semua ini ada kaitan dengan keyakinan, semangat berpasukan dan kebersamaan.
"Ya, ini adalah kekecewaan terbesar saya kerana kami tidak mewujudkan semangat berpasukan itu," kata Rangnick yang sebelum ini mengetuai bahagian sukan dan pembangunan kelab Rusia, Lokomotiv Moscow.
Anak buah Rangnick kini berada di tempat keenam dengan 58 mata, dua mata di atas pasukan tangga ketujuh West Ham United, memerlukan kemenangan apabila bertandang ke Selhurst Park menentang Crystal Palace untuk memastikan tempat ke Liga Europa musim depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!