Anthony Albenese bakal PM baharu Australia

Anthony Albenese menang Pilihan Raya Umum Australia. - AFP
Anthony Albenese menang Pilihan Raya Umum Australia. - AFP
A
A
A

CANBERRA - Calon pembangkang daripada Parti Buruh, Anthony Albenese mengambil alih pentadbiran Australia selepas menang Pilihan Raya Umum negara itu pada Sabtu.

Kemenangan Albenese dipacu oleh kemarahan orang ramai terhadap tindak balas perlahan dan ketidakupayaan kerajaan konservatif pimpinan Scott Morrison berkaitan beberapa krisis termasuk isu kemarau didorong perubahan iklim, kebakaran hutan dan banjir sehingga pandemik Covid-19 serta peningkatan kos sara hidup.

"Rakyat Australia telah mengundi untuk perubahan," kata Albenese.

Pemimpin berusia 59 tahun itu turut menjanjikan kepimpinan yang kurang 'membingungkan' selain berikrar membawa pembaharuan untuk menjadikan negara lebih adil dan hijau.

Dengan hampir dua pertiga undi sudah dikira, Parti Buruh kini mendahului meskipun belum memperoleh majoriti 76 kerusi.

Parti yang bertanding memerlukan majoriti 76 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti dan Parti Buruh kini mendahului di 73 kerusi, lapor Suruhanjaya Pilihan Raya Australia.

Pada pilihan raya sebelum ini, gabungan konservatif mendapat 76 kerusi manakala Parti Buruh hanya memperoleh 68 dengan baki tujuh lagi dimenangi parti minoriti dan calon Bebas.

Sebanyak 76 kerusi Senat turut dipertandingkan, masing-masing 12 membabitkan enam negeri dan masing-masing dua di dua wilayah.

Pilihan Raya Umum ini akan menentukan siapa menguasai Parlimen, Senat dan siapa akan berpindah ke 'Lodge' iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri.

Albanese sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Kevin Rudd dan Julia Gillard sebelum mengambil alih sebagai Pemimpin Buruh dalam pilihan raya pada 2019.

Pada lewat malam Sabtu, Morrison sudah mengangkat bendera putih meskipun proses pengiraan undi belum tamat.

Beliau yang mengambil alih pentadbiran Australia pada 2018 selepas beberapa krisis kepimpinan, turut memaklumkan akan melepaskan jawatan ketua parti Liberal, sekali gus menamatkan pentadbiran selama lapan tahun enam bulan menerusi kerajaan campuran. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!