Liek Hou sukar digugat
PEMAIN badminton para negara Cheah Liek Hou meraih kejuaraan kesembilan berturut-turut selepas dinobatkan juara kejohanan badminton para Antarabangs Bahrain 2022, pada Sabtu.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo itu mengambil masa 24 minit sebelum mengesahkan kemenangan ke atas Bartlomiej Mroz 21-7, 21-12 dalam kejohanan berlangsung ISA Sport City, Manama.
Ini adalah gelaran kedua dimenangi tahun ini selepas muncul juara Antarabangsa Brazil 2022, bulan lepas.
Pemain di ranking kedua dunia kategori SU5 (kecacatan fizikal) yang bergandingan dengan Fariz Anuar turut mencipta kejutan apabila menewaskan pasangan pilihan utama dari India Chirag Baretha-Raj Kumar.
Pasangan negara yang tewas 14-21 pada set pertama, bangkit menguasai set kedua 21-19 sebelum mengesahkan kemenangan 21-17 pada kejohanan sama.
Liek Hou dalam akaun Instagramnya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara kerana menghantar beliau ke kejohanan di Bahrain dan berharap dapat meneruskan prestasi cemerlang dalam kejohanan di Dubai, minggu depan.
Sementara itu, pemain badminton kerusi roda negara Muhammad Ikhwan Ramli terpaksa akur tewas di tangan pemain Korea Selatan Choi Jung Man 21-18, 21-15. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!