240 meter tali dipasang di trek Bukit Galing

Pemasangan tali di laluan trek Bukit Galing dilakukan sukarelawan Kchat.
Pemasangan tali di laluan trek Bukit Galing dilakukan sukarelawan Kchat.
A
A
A

KUANTAN - Kelab kaki Camping Hiking And Travel (Kchat) mengambil inisiatif memasang tali keselamatan sepanjang 240 meter berukuran 18 hingga 36 milimeter di laluan trek pendakian Bukit Galing di sini bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Setiausaha Kelab kaki Camping Hiking And Travel (Kchat) Pahang, Nor Khalilah Gusti Hassan berkata, ia bertujuan memberi keselesaan kepada pendaki kerana trek bukit setinggi 296 dari aras laut itu tinggi, curam dan licin.

Menurutnya, seramai 67 sukarelawan Kchat terlibat memasang tali keselamatan dan membersihkan trek pendakian Bukit Galing secara gotong-royong.

"Kami menyumbang tali ini dan tambahan lagi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung dan ahli kelab secara persendirian dan kos keseluruhan ialah RM2,100," katanya ketika ditemui selepas pemasangan tali di lokasi berkenaan pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, program itu sebagai menyahut seruan kerajaan Pahang yang telah melancarkan Pahang Hiking Day yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada Mac lalu.

Tambahnya, fasa peralihan ke endemik Covid-19 menjadikan kawasan hutan dan gunung semakin kerap diterokai orang awam kerana ia salah satu cabang sukan ekstrem..

"Bukit Galing contohnya, menerima kunjungan orang ramai yang meningkat dua kali ganda daripada biasa. KChat terpanggil melaksanakan kempen ini bagi membantu meringankan kerja pihak berkuasa.

"Kami laksanakan kerja-kerja sampingan yang sebegini supaya risiko kemalangan di kawasan rekreasi di hutan dapat dikurangkan," ujarnya

Kchat mendapat kerjasama kumpulan Ayuh Malaysia dan Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu.

Sukarelawan KChat yang terlibat dalam aktiviti memasang tali keselamatan dan membersihkan trek pendakian Bukit Galing.
Sukarelawan KChat yang terlibat dalam aktiviti memasang tali keselamatan dan membersihkan trek pendakian Bukit Galing.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Nor Khalilah berkata, laluan trek pendakian turut dibersihkan selain membuang perca kain dan plastik yang digunakan sebagai penanda arah dan digantikan dengan tali 'barricade'.

"Bagi laluan yang rosak seperti tanah runtuh atau pokok tumbang, Kchat akan membuat pelaporan kepada pihak berkuasa yang lebih pakar sementara kami menukar laluan pendakian.

"Mereka yang memberi sumbangan baik kepada alam semulajadi terutama trek pendakian boleh menyertai program Pasport Hikers Kchat dan kami raikan 10 pemenang di malam anugerah Hikers Gala Night yang diadakan setiap tahun.

"Tahun ini kami adakan di Pulau Tioman serentak dengan pelancaran Hikers In Tioman (HIT) di kaki Gunung Semukut Pulau Tioman pada 26,27 dan 28 Ogos nanti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!