Polis tak bercadang panggil Cik Miera
SHAH ALAM - Pihak polis tidak bercadang memanggil pemilik akaun Facebook Cik Miera berhubung kenyataannya mengenai kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ia bagi menghormati prosiding mahkamah dan mengelak berlaku percanggahan keterangan.
"Kes sedang berjalan dan pihak polis tak mahu campur tangan bagi mengelak ganggu prosiding mahkamah. Apa yang menjadi keutamaan adalah prosedur perundangan selesai terlebih dahulu, sebelum apa-apa tindakan diambil," katanya ketika ditemui dalam program Satu Masjid, Satu Polis (1M1P) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Terdahulu, Cik Miera yang mengaku jururawat di Institut Jantung Negara (IJN) mendedahkan keadaan sebenar Adib di mana dia mendakwa anggota bomba itu dipukul susulan keterangan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi semasa inkues punca kematian Adib, Jumaat lepas.
Ahmad memberitahu kecederaan anggota bomba itu mungkin disebabkan kesan hentakan kenderaan yang melanggarnya dan tidak menunjukkan seperti Allahyarham dipukul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!