Generasi muda lebih selesa guna bahasa asing
KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mencari satu kaedah intervensi atau mekanisme menyeluruh bagi menarik minat generasi muda terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai medium pengantaraan seharian.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, fonomena globalisasi dan pendigitalan yang semakin pesat telah mengubah landskap penggunaan bahasa Melayu.
“Generasi muda kini lebih selesa menggunakan bahasa asing sebagai medium perantaraan. Ini tidak terkecuali kepada penjawat awam terutamanya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bertajuk ‘Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21’ di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP di sini pada Ahad.
Mohd Shafiq turut mencadangkan DBP dan institut penterjemahan bertindak pantas serta memainkan peranan dinamik dalam aktiviti penterjemahan terutama dalam bidang sains dan teknologi seperti di Jepun, Korea dan China.
“Umum ketahui, bahawa negara kita kini sedang giat bergerak ke arah mencapai sebuah negara maju berasaskan industri sains dan teknologi.
“Bagaimanapun, antara cabaran utama yang perlu kita atasi ialah isu keterbatasan penggunaan bahasa Melayu sebagai medium pengantaraan dalam bidang sains dan teknologi khususnya berkaitan terma-terma sains dan teknologi tersebut,” katanya.
Disebabkan itu jelasnya, organisasi penterjemah bertindak secara proaktif terhadap bahan-bahan ilmuan dalam bidang sains dan teknologi untuk digunakan sebagai sumber rujukan.
“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memperluas dan memperkasakan Bahasa Melayu sebagai medium pengantaraan dalam bidang sains dan teknologi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Shafiq berkata, bahasa Melayu adalah amat mudah untuk dipelajari.
“Kita sendiri melihat bagaimana golongan pekerja asing yang datang ke Malaysia boleh menguasai bahasa Melayu dalam masa yang begitu singkat.
“Hakikat ini menjadikan amat mustahil jika masih ada warganegara yang gagal menguasai bahasa rasmi Malaysia ini,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!