Video Baby Shima menari di 'Jalan New Zealand' tular

Tangkap layar video Baby Shima menari di Jalan Temiang-Pantai.
Tangkap layar video Baby Shima menari di Jalan Temiang-Pantai.
A
A
A

SEREMBAN - Video penyanyi dangdut, Baby Shima menari di Jalan Temiang-Pantai di sini, yang mendapat jolokan ' Jalan New Zealand' tular di media sosial Tik Tok.

Rakaman video itu dimuat naik penyanyi itu sendiri atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 30, di akaun Tik Tok 'babyshimaofficial' pada Sabtu.

Rakaman video itu turut menunjukkan Baby Shima menari bersama seorang lagi wanita dengan caption 'Reaksi Shima bila orang maki-maki'.

Turut kelihatan beberapa buah kenderaan yang dipakir di bahu jalan, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia milik penyanyi itu atau individu lain.

Jalan Temiang-Pantai menjadi tarikan orang ramai untuk mengambil gambar kerana pemandangannya yang disifatkan seperti suasana di New Zealand.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) menasihati pengguna jalan raya supaya tidak memberhentikan kenderaan mereka di lorong kecemasan di Jalan Temiang-Pantai bagi tujuan bergambar dan berkumpul.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf dilaporkan berkata, tindakan memberhentikan kenderaan secara berkumpulan di lorong kecemasan adalah perbuatan tidak sepatutnya dilakukan oleh pengguna jalan raya kerana ia mengundang risiko berlakunya kemalangan di kawasan terbabit

"Tindakan pemandu itu membahayakan keselamatan orang ramai dan tidak munasabah kerana ia boleh memberikan satu persepsi bahawa tempat itu adalah tempat pelancongan sedangkan kawasan terbabit adalah lebuh raya, perlu diingatkan jalan raya ini digunakan untuk kenderaan dan jentera bergerak.

"Apabila mereka berhenti secara berkumpulan atau beramai-ramai ia mengganggu kelancaran trafik. Pemandu lain akan bertemu kelompok kenderaan berhenti dan berkumpul di jalan raya akhirnya mengundang kemungkinan berlakunya kemalangan," katanya.

Beliau berkata, mereka yang melakukan kesalahan ini boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah lalu lintas Jalan 1959 yang menyatakan tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.

Menurutnya, mereka juga boleh disiasat mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikenakan didenda kepada pemandu tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Jalan Temiang-Pantai adalah laluan alternatif ke Kuala Klawang atau Jelebu dibuka pada 26 Ogos tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!