Bau meloyakan dari jarak 100 meter
PELABUHAN KLANG - Kotor, busuk dan meloyakan. Itu keadaan sebuah kilang memproses baja secara haram yang dikesan ketika operasi terjah kilang dilakukan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.
Sebelum pemeriksaan ke atas premis berkenaan, pegawai MPK dan warga media terlibat dengan operasi sudah terganggu dengan bau busuk berpunca dari kilang itu sejauh jarak kira-kira 100 meter.
Pemeriksaan lanjut ke atas premis terletak di kawasan Sungai Chandong itu mendapati, bahagian depan kilang dicemari darah dan sisa ayam yang dihurungi lalat.
Satu-satunya pekerja yang ditemui ketika operasi berkenaan, dikenali sebagai Neng, 50-an mendakwa, kilang berkenaan telah beroperasi lebih lima tahun menjadikan sisa buangan ayam untuk diproses menjadi baja.
Pekerja warga Indonesia itu telah bekerja sejak lima tahun lalu dan tinggal di situ, bagaimanapun tidak mengetahui tentang status kilang berkenaan.
Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, kilang berkenaan merupakan salah satu daripada lima kilang yang diperiksa didapati beroperasi tanpa lesen.
Menurutnya, operasi kilang berkenaan juga didapati menyalurkan sisa buangan terus ke sistem saliran yang boleh menyebabkan pencemaran.
“Kilang ini tiada lesen mengilang dan menyimpan. MPK mengambil tindakan arahan henti operasi dan menyita kilang ini serta kompaun turut diberikan kepada pemilik operasi,” katanya ditemui ketika operasi berkenaan hari ini.
Beliau menambah, dalam pemeriksaan sama, tiga lagi kilang iaitu dua kilang plastik dan sebuah kilang memproses minyak enjin turut diarah tutup kerana tidak mempunyai lesen.
Katanya, pihaknya akan meminta kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk tindakan memotong bekalan elektrik dan air.
“Kesemua premis yang disita dikenakan tindakan di bawah Undang-undang Kecil 3, Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen.
“Pemantauan akan terus dibuat, sekiranya pihak kilang gagal mematuhi arahan yang diberikan, MPK akan menyediakan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Yasid turut melahirkan rasa kesal kerana kegagalan pihak pemilik mahupun penyelia kilang berada di premis ketika pemeriksaan menyebabkan pihaknya sukar mendapat kerjasama ketika operasi dijalankan.
“Semua pagar utama ditutup sehingga kita terpaksa potong pintu pagar mereka. Ini kita dapat satu tanda yang kurang baik kerana kita nak jalankan pemeriksaan tapi tak dapat kerjasama. Penyelia-penyelia yang sepatutnya bertanggungjawab mungkin sudah cabut lari,” katanya.
Justeru beliau menasihatkan pengusaha kilang yang masih beroperasi secara haram agar memohon lesen dengan MPK dan pihaknya bersedia mempermudahkan urusan memperolehi lesen asalkan syarat dipenuhi.
“Banyak perkara buruk yang boleh berlaku jika beroperasi secara tidak sah termasuk isu keselamatan pekerja dan alam sekitar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!