PASRelief pegang amanah sumbangan orang ramai
ALOR SETAR – Sumbangan orang ramai bagi misi kemanusiaan peringkat antarabangsa melalui PASRelief adalah selamat dan meyakinkan.
Pengerusi PASRelief merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, laporan audit dilakukan membuktikan wang sumbangan disalurkan sememangnya digunakan dalam misi kemanusiaan.
“PASRelief setia memegang amanah yang dipertanggungjawabkan orang dalam menjayakan misi kemanusiaan di negara terlibat.
“Sumbangan wang disalurkan adalah selamat dan sampai ke negara yang memerlukan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dan Penyerahan Sumbangan Projek Pusat Islam Lubnan di Seri Mentaloon, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Pengarah II PASRelief, Nuridah Salleh dan Bendahari PASRelief, Mohd Adram Musa.
Mengulas lanjut, katanya, PASRelief terus berusaha untuk menjadi antara badan dan agensi ke hadapan dalam isu kemanusiaan terutamanya dihadapi peringkat antarabangsa.
Muhammad Sanusi berkata, PASRelief terus bergerak tanpa toleh ke belakang melalui pelbagai misi kemanusiaan, misalnya gempa bumi dan tsunami di Palu dan Lombok, Arakan, Syria dan Yaman.
“Terkini, kita sedang mengumpulkan dana bagi menyiapkan Pusat Islam Arsal Lubnan,” katanya.
Ujarnya, Lubnan merupakan salah lokasi menjadi tempat gerakan kemanusiaan beroperasi dari pelbagai negara termasuklah Malaysia.
Katanya, terdapat banyak pelarian di kawasan itu disebabkan beberapa peristiwa termasuklah letupan besar didakwa kononnya berpunca dari sebuah kilang baja.
Beliau memberitahu, kejadian letupan pada tahun 2020 itu mengorbankan banyak nyawa,ada mengalami kecederaan dan kerosakan bangunan.
Katanya, terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah PASRelief yang membuat kutipan berikutan kejadian letupan besar di Lubnan itu.
“Kita cuba bantu apa yang boleh dan apabila kita ke sana, kita dapati antara keperluan adalah menyiapkan Pusat Islam Arsal Lubnan, yang mana tingkat satu dan dua telah dilakukan NGO lain,” katanya.
Muhammad Sanusi menerangkan, PASRelief bersama gabungan NGO lain pula membiayai kos untuk menyiapkan bangunan tingkat tiga Pusat Islam Arsal Lubnan.
Tambah beliau, lebih RM500,000 diperlukan untuk menyiapkan tingkat tiga bangunan yang akan dijadikan pusat setempat bakal dimanfaatkan pelarian Syria dan Palestin serta penduduk Lubnan sendiri.
Bagaimanapun, katanya, kutipan diperoleh masih belum mencukupi apabila memerlukan lebih RM100,000 lagi bagi menjayakan pembiayaan pembangunan pusat Islam tersebut.
“Jadi, kita mengalu-alukan sumbangan untuk menyiapkan Pusat Islam Arsal Lubnan itu,” ujarnya.
Justeru, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Islamic atas nama PASRelief (564070612333).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!