Skuad berbasikal sumbang dua perak

Barisan pelumba wanita negara yang meraih pingat perak acara lebuh raya berpasukan Sukan SEA Hanoi 2021 pada Ahad. Foto FB MSN
Barisan pelumba wanita negara yang meraih pingat perak acara lebuh raya berpasukan Sukan SEA Hanoi 2021 pada Ahad. Foto FB MSN
A
A
A

SKUAD berbasikal negara mengakhiri temasya Sukan SEA Hanoi 2021 pada Ahad dengan dua lagi pingat perak menerusi acara individu wanita dan lebuh raya berpasukan.

Dalam acara individu wanita yang melibatkan laluan sejauh 88.5 kilometer, pelumba negara, Nur Aisyah Zubir terpaksa akur berada di belakang pelumba Vietnam, Nguyen Thi That.

Pelumba Indonesia, Delia Ayustina Priatna pula memenangi gangsa selepas mereka merakamkan catatan masa keseluruhan 2 jam, 13 minit dan 15 saat (s).

Tiga lagi pelumba wanita negara yang bersaing dalam acara itu adalah Siti Nur Adibah Akma, Nur Aisyah Munirah Chek Ramli dan Ju Pha Som Net.

Adibah dan Aisyah Munirah masing-masing berada di tangga keenam dan kelapan, namun malang menimpa apabila Ju Pha mengalami kemalangan pada penghujung perlumbaan.

Dalam pada itu, kem berbasikal Malaysia turut merangkul pingat perak dalam kategori berpasukan dengan kombinasi masa 6:42:15s.

Tuan rumah, Vietnam merangkul pingat emas dengan catatan 6:42:11s manakala Thailand menyambar gangsa selepas merekodkan masa 6:43:48s.

Secara keseluruhan, Malaysia membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa menerusi acara mountain bike (MTB) serta satu emas, dua perak dan dua gangsa (lebuh raya) pada Sukan SEA kali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!