Malaysia akhiri cabaran di Hanoi 2021 di kedudukan keenam
KONTINJEN negara berjaya menambah dua pingat emas pada hari ke-15 Sukan SEA Hanoi 2021, sehari sebelum temasya sukan dwitahunan tersebut melabuhkan tirai pada Isnin.
Dua pingat emas itu diraih dalam acara beregu campuran badminton dan Muay Thai, menyaksikan kem negara menamatkan cabaran di Hanoi dengan pungutan keseluruhan 39 emas, 45 perak dan 89 gangsa, dengan kesemua acara tamat hari ini bagi memberi laluan kepada upacara penutup temasya, Isnin.
Pungutan pingat tersebut mengatasi sasaran 36 emas ditetapkan, meletakkan Malaysia di kedudukan keenam di belakang tuan rumah, Vietnam yang meraih 204 emas, 121 perak dan 115 gangsa untuk muncul juara keseluruhan.
Thailand berada di tempat kedua dengan 90 emas, 102 perak dan 134 gangsa, diikuti Indonesia 68-90-80, Filipina 50-69-101 dan Singapura di kedudukan kelima 47-46-73.
Pada saingan Ahad, pasangan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei menyumbangkan pingat emas ke-38 negara dan berjaya menamatkan penantian selama 23 tahun Malaysia dalam memburu pingat emas beregu campuran Sukan SEA, selepas menewaskan rakan senegara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See yang meraih perak.
Jaguh Muay Thai muda negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib turut cemerlang dalam penampilan sulungnya di Sukan SEA, apabila menghadiahkan pingat emas ke-39 buat negara dalam kategori elit bawah 54 kilogram (kg) lelaki.
Skuad Muay Thai kebangsaan juga tidak mengecewakan apabila atlet Muay Thai wanita negara Nur Amisha Azrilrizal, meraih perak setelah terpaksa akur di tangan peserta Thailand Srila Oo Wansawang pada final kategori wanita elit bawah 51kg.
Skuad berbasikal negara terus mempamerkan pencapaian membanggakan apabila pasukan wanita menamatkan cabaran di Hanoi dengan dua pingat perak dalam acara lebuh raya.
Nur Aisyah Mohamad Zubir meraih perak selepas terpaksa akur dengan kehebatan juara Asia dua kali dari Vietnam Nguyen Thi That, bagi acara lebuh raya individu wanita, selain membantu pasukan negara meraih perak dalam kategori berpasukan kategori berkenaan.
Pelumba lain dalam skuad kebangsaan ialah Siti Nur Adibah Akma, Nor Aisyah Munirah Chek Ramli, Ju Pha Somnet dan Yeong Zhen Yi.
Harapan Lim Kok Leong untuk melakar sejarah tersendiri merangkul emas kedua peribadinya di Sukan SEA Hanoi 2021 tidak kesampaian, selepas tewas di final acara snuker perseorangan lelaki.
Atlet negara berusia 27 tahun itu terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas 2-4 kepada legenda Thailand James Wattana.
Sementara itu, skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara pulang dengan tangan kosong selepas tewas 3-4 kepada Indonesia, dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan merebut pingat gangsa, setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi 90 minit permainan.
Tuan rumah, Vietnam meraih emas selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Thailand dalam aksi final. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!