Feri terbakar awal pagi, tujuh terbunuh
MANILA - Sekurang-kurangnya tujuh orang disahkan terbunuh di Filipina pada Isnin selepas sebuah feri terbakar mengakibatkan penumpang terpaksa melompat ke dalam laut, kata pengawal pantai dan saksi.
Kebakaran berlaku di feri Mercraft 2 ketika ia membawa seramai 124 penumpang dari Pulau Polillo ke Real di wilayah Quezon di Pulau Luzon.
Operasi mencari mangsa yang terselamat sedang dijalankan dengan 105 penumpang berjaya diselamatkan setakat ini, kata jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Armando Balilo.
Ketika kejadian, feri terbabit membawa seramai 142 penumpang dan anak kapal ketika meninggalkan Pulau Polilio sekitar jam 5 pagi ke Real, Quezon.
Roro Vessel MV Mercraft 2 berada kira-kira lebih 400 meter dari pelabuhan Real ketika kebakaran berlaku, kata Balilo.
Terdapat penumpang yang berpaut pada objek terapung ketika api menyambar feri berkenaan.
Sebuah lagi kapal turut membantu menyelamatkan penumpang yang terjun ke dalam laut kerana panik akibat kebakaran tersebut.
Enam penumpang yang cedera dibawa ke hospital terdekat, tambah Balilo. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!