Kerjasama Angkasa, IFFCO lonjak peluang perniagaan Malaysia, India
PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Kerjasama antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dengan Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO) membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada gerakan koperasi bagi kedua-dua buah negara.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama strategik bersama IFFCO memberi manfaat jangka masa panjang kepada perkembangan perniagaan koperasi di negara ini.
"IFFCO dimiliki penuh oleh badan induk koperasi di India iaitu Cooperative Societies of India dan merupakan pengilang baja terbesar di negara tersebut.
"Kerjasama ini bakal memanfaatkan koperasi yang terlibat sektor perladangan serta sektor pertanian dan industri asas tani kerana Angkasa mendapatkan bekalan baja dari IFFCO dengan harga berpatutan," katanya dalam sidang media selepas sesi Kunjungan Hormat Delegasi Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO) di di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya, pada Isnin.
Hadir sama adalah Pengurus Besar IFFCO, Tharun Bhargava; Pengerusi IFFCO, Dileep Sanghani; Anggota Lembaga Angkasa merangkap Ahli Lembaga ICA, Datuk Kamarudin Ismail; Anggota Lembaga Angkasa, Dr Mohd Azlan Yahya; dan Anggota Lembaga Angkasa, Datuk Che Mohd Shukree Che Isa.
Abdul Fattah yang juga Presiden Asean Co-operative Organization (ACO) berkata, kunjungan hormat itu membuktikan keyakinan koperasi dari luar negara terhadap keupayaan kepimpinan Angkasa dalam membangunkan dan menggerakkan perniagaan koperasi di Malaysia selama 51 tahun semenjak penubuhannya.
Menurutnya, Angkasa juga melihat sebarang bentuk kerjasama dari segi produk dan perkhidmatan koperasi yang boleh ditawarkan kepada pihak IFFCO.
"Angkasa amat berbesar hati apabila koperasi terbaik dunia iaitu IFFCO hadir bagi membincangkan kerjasama strategik yang boleh dibangun dan dilaksanakan bagi memberi manfaat jangka panjang kepada gerakan (perniagaan koperasi) ini," katanya.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, pihaknya akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IFFCO di Persidangan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) di Seville, Sepanyol pada Jun ini bagi memperkenalkan kaedah 'nanofertiliser' (baja nano) di Malaysia.
"Pada masa sama, Malaysia dan India akan mempertahankan jawatan dalam ahli lembaga di peringkat ICA.
"Malaysia memang sudah ada Kamarudin (sebagai Ahli Lembaga Pengarah ICA sesi 2017 hingga 2021) dan kita pertahankan," katanya.
Dalam pada itu kata Abdul Fattah, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar akan mengetuai delegasi dari Malaysia iaitu kira-kira seramai 60 orang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!