10 gerak kerja antara BN, PH tak benar: Najib
SHAH ALAM - Sejak semalam, tular 10 perbandingan gerak kerja antara kerajaan BN sebelum ini dan pimpinan PH yang hampir setahun memerintah negara.
Perbandingan itu jelas menunjukkan 10 aspek terpilih memihak kepada kerajaan PH yang memerintah negara sejak menang PRU14 pada 9 Mei lalu.
Sepuluh perkara itu melibatkan minyak RON95, Bantuan Khas Pesara, BR1M, biasiswa, royalti minyak, pelan bantuan Felda, Tol, elaun pelatih maktab perguruan, peruntukan sekolah daif dan kos projek mega.
Perbandingan itu tular di media sosial dan antara pemimpin yang membuat perkongsian perbandingan itu adalah Ketua Pemuda PH Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan laman Facebook kelab penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, Kelab Che Det.
“Lakukan pembaharuan sedikit demi sedikit demi kepentingan rakyat,” tuis Hasnul di Facebooknya, hari ini.
Perbandingan itu bagaimanapun mendapat respon bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menegaskan ia merupakan propaganda berunsur fitnah terhadap BN.
Melalui kenyataan terbaru di Facebooknya hari ini, Najib menjelaskan 10 perkara tersebut, satu per satu.
“Saya diberitahu bahawa PH telah mula menyebarkan propaganda berdasarkan penipuan yang tidak dinamakan sumber melalui WhatsApp - seperti apa yang berlaku sebelum PRU14.
“Insya-ALLAH. Ada netizen yang sudah muak dengan penipuan PH telah menyangkal "data dan fakta" PH,” katanya.
Hantaran Najib itu mendapat lebih seribu komen dan perkongsian warga net.
Sehubungan itu, Najib menyeru rakyat supaya tidak berkongsi maklumat tidak tepat itu.
“Oleh itu, rakyat Malaysia patut abaikan sahaja dan jangan sebarkan mesej fitnah. Kita jangan jadi penyebar fitnah.
“Tidakkah kita ingat akan segala fitnah, segala propaganda, segala penipuan dan segala pembohongan PH melalui mesej WhatsApp sebelum PRU14? Jangan jadi Raykat lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!