Klopp beri jaminan Liverpool bangkit musim depan
LIVERPOOL menerima secara terbuka kegagalan merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Manchester City setelah dipisahkan dengan satu mata selepas kedua-dua pasukan melengkapkan perlawanan akhir masing-masing, pada Ahad.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp memberi jaminan kelab Merseyside itu akan kembali bangkit lebih bertenaga bagi mencabar kejuaraan pada musim depan walaupun mengakui terkilan pada pengakhiran kelab tersebut kali ini.
"Ya, perjalanan musim yang berakhir dengan kedudukan kedua terbaik liga itu adalah kisah hidup saya dan pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
"Sejak awal lagi kami perlu berusaha gigih untuk mendapatkan lebih banyak mata dalam setiap perlawanan berbanding pencabar lain. Namun kami masih gagal melaksanakannya pada musim ini setelah mengharungi aksi cukup kompetitif," katanya.
Impian anak buah Klopp untuk menjulang kejuaraan liga musim ini tidak kesampaian apabila dipisahkan satu mata dengan Manchester City yang meraih 93 mata setelah mengatasi Aston Villa 3-2 di Stadium Etihad biarpun The Reds (92 mata) menang bergaya 3-1 ke atas Wolves di Stadium Anfield hasil jaringan Sadio Mané (24'), Mohamed Salah (84') dan Andrew Robertson (89'), memadamkan jaringan awal minit ketiga Pedro Neto.
Pengendali kelahiran Jerman itu mempunyai sejarah tersendiri apabila menduduki tempat kedua sebanyak dua kali dalam kempen domestik ketika bersama Borussia Dortmund di Jerman selepas memenangi dua gelaran Bundesliga.
Dia juga selepas itu membawa Liverpool merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama The Reds pada 2020, setahun selepas menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Manchester City yang berkelebihan satu mata.
Pada masa sama Klopp memuji komitmen diberikan keseluruhan pemain The Reds dalam mencabar kejuaraan liga teratas Inggeris tersebut sehingga berlarutan ke penghujung musim.
"Anda tidak boleh meminta para pemain Liverpool melakukan lebih selepas setiap pemain memberikan yang terbaik untuk kejuaraan ini dan itulah yang dilakukan para pemain The Reds sekali lagi.
"Kami mengejar dan memberi tekanan kepada pasukan terbaik dunia dan itu benar-benar cukup istimewa kepada saya. Kami akan membina semula kekuatan pasukan sekali lagi dan mencabar mereka pada musim depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!