Alif Satar Cabar Diri

Duta Harman Studio
Duta Harman Studio
A
A
A

TIDAK mahu terus berada di zon selesa dan berpuas hati dengan apa yang diraih, selebriti serba boleh Alif Satar mahu terus meneroka peluang yang ada dalam usaha mengembangkan bakat seninya.

Jika sebelum ini Alif sukses sebagai seorang penyanyi, pelakon dan pengacara, terbaru selebriti asal Kuala Lumpur ini memberanikan diri untuk berjinak-jinak dalam bidang penerbitan pula.

Menerusi syarikat produksi Cue Pro, milik bersama seorang rakan, Alif mahu berkongsi ideanya sendiri secara terus kepada orang ramai.

“Saya memang sukakan kerja-kerja yang kreatif, bukan sahaja dalam muzik tetapi juga bidang-bidang lain terutamanya dalam bidang penerbitan.

“Sebelum ini saya banyak berkongsi idea tersebut di Youtube channel yang diwujudkan lebih setahun lalu.

“Jadi sudah tiba masanya untuk saya besarkan idea tersebut menerusi penerbitan drama dan program TV yang hasilnya mungkin boleh dikongsi dengan lebih ramai orang di luar sana,” kata Alif.

Alif Satar
Alif Satar

Menurut Alif, syarikat produksinya baru sahaja tampil dengan drama pertama mereka, Rindu Cinta Zulaikha yang akan disiarkan di RTM tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

“Ia sebenarnya merupakan pengalaman yang cukup istimewa buat saya kerana dapat berkongsi sesuatu yang mungkin personal dalam karya tersebut.

“Sebelum ini pun waktu berlakon saya ada juga tambah-tambah skrip sendiri untuk adlib dan nampakkan dialog yang dituturkan lebih natural, jadi pengalaman itu menyeronokkan.

“Kalau boleh saya mahu bekerja lebih serius dalam bidang ni dan mahu buat lebih lagi. Alhamdulillah kami juga akan tampil dengan projek lain pula tidak lama lagi,” katanya.

Bagaimanapun hero drama Dia Semanis Honey ini mengakui belum bersedia bergelar pengarah yang dirasakan lebih komitmen.

“Cukuplah sebagai pelakon dan penerbit saja, takutlah nak jadi pengarah. Lagi pun nak jadi pengarah perlukan banyak masa sedangkan saya terikat dengan banyak komitmen lain juga.

“Aktiviti nyanyian, pengacaraan dan lakonan semuanya tetap diteruskan macam biasa dan ia tentunya memerlukan komitmen yang tinggi,” katanya yang bakal tampil dengan single terbaharu selepas Aidilfitri nanti.

Dalam pada itu, Alif yang ditemui di majlis pelancaran Harman Studio Malaysia, sekaligus memperkenalkan dirinya sebagai duta, mengakui teruja dapat menjalinkan kerjasama dengan jenama tersebut yang disifatkan dekat dengan dirinya.

“Alhamdulillah saya rasa sangat teruja dilantik sebagai duta Harman Studio untuk tempoh setahun ini dan berharap kerjasama ini dapat memberikan impak yang positif kepada kedua-dua pihak.

“Lagipun barangan Harman seperti JBL bukan asing buat saya kerana sebelum dilantik sebagai duta pun saya memang sering gunakan dalam kehidupan seharian sama ada ketika buat muzik atau bersukan.

“Saya difahamkan pihak Harman juga akan mengadakan beberapa aktiviti termasuk siri jelajah untuk mempromosikan jenama mereka dan saya harap ia juga menjadi kesempatan terbaik buat saya bertemu peminat nanti,” kata Alif kepada Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!