Bekalan makanan, ayam mencukupi di Johor
KULAI - [DIKEMAS KINI] Bekalan makanan terutama ayam di Johor dilaporkan masih mencukupi dan terkawal bagi menampung keperluan dan permintaan pengguna pada masa kini.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, permintaan yang tinggi sepanjang musim perayaan menyebabkan berlaku kekurangan bekalan.
"Setakat ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada menerima aduan di sesetengah kawasan terutama luar bandar yang menghadapi sedikit masalah dari segi bekalan.
"KPDNHEP Johor sentiasa melakukan pemantauan secara harian melibatkan 200 anggota penguat kuasa. Sehingga kini, bekalan di pasar raya mencukupi.
"Isu bekalan ini berlaku disebabkan permintaan berkali ganda diterima sempena hari perayaan baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Mesra Pelabur di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Ting Han berkata, kerajaan negeri akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi melaksanakan pelbagai program jaminan makanan dalam usaha menambah bekalan makanan.
"Di Johor, kita memang ada program-program 'food security' untuk menambah bekalan makanan, di mana kerajaan negeri akan membantu dari segi insentif dan polisi kepada petani dan peladang sebagai langkah jangka masa panjang.
"Selain itu, kerajaan negeri juga akan bertindak selari dengan keputusan mesyuarat khas kabinet pada Isnin, yang membincangkan mengenai kos sara hidup, peningkatan harga serta masalah bekalan barangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!