Awal Ashaari, Scha Alyahya menang saman
KUALA LUMPUR - Pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya berjaya dalam tuntutan saman menuntut ganti rugi RM345,305 terhadap syarikat pengedar minyak wangi, D'Haja (M) Sdn Bhd atas kehilangan hasil jualan minyak wangi ekslusif keluaran mereka.
Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Shamsudin Abdullah membenarkan tuntutan saman itu selepas mendapati D'Haja yang dilantik sebagai pengedar dan penjual ekslusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon selaku defendan melanggar kontrak perjanjian ditandatangani bersama pasangan itu.
Ketika membuat keputusan itu Shamsudin berkata, apabila pihak-pihak menandatangani sesuatu perjanjian, pihak-pihak tersebut terikat kepada perjanjian tersebut tanpa mengambil kira mereka membaca atau tidak dokumen tersebut.
Beliau berkata salah satu klausa tersebut dengan jelas menerangkan tugas dan tanggungjawab defendan iaitu perlu menjaga nama baik dan reputasi plaintif.
"Apabila defendan menerima 20,000 botol minyak wangi daripada Eree International Sdn Bhd adalah menjadi tanggungjawab defendan untuk menjaga nama baik dan reputasi plaintif berhubung minyak wangi tersebut,"katanya.
Sehubungan itu, katanya untuk mencapai maksud tersebut defendan perlu memeriksa setiap botol yang diterima berada dalam keadaan baik.
"Daripada keterangan dikemukakan, mahkamah mendapati defendan gagal melaksanakan tanggungjawab apabila mengesahkan mereka tidak memeriksa setiap botol diterima dengan alasan bukan tanggungjawab mereka dan bilangan botol yang banyak,"ujarnya.
Katanya kegagalan itu menyebabkan defendan mengalami kerugian kos pengeluaran, kos pemasaran, kos pelancaran dan kehilangan keuntungan daripada penjualan minyak wangi tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar faedah lima peratus setahun daripada tuntutan saman itu dibuat, ganti rugi am RM10,000 dan kos RM5,000.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tuntutan balas D'Haja dan memerintahkan Awal dan Scha membayar RM55,000 kepada defendan selepas mendapati plaintif memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi itu ke Brunei.
Awal dan Scha diwakili peguam Datuk M Reza Hassan manakala D'Haja selaku defendan diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican.
Pada 30 April tahun lalu Scha, 35, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir dan Awal selaku plaintif memfailkan saman terhadap D'Haja (M) Sdn Bhd selaku defendan bagi menuntut ganti rugi tersebut atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian berhubung penjualan produk minyak wangi yang dikeluarkan oleh pasangan selebriti itu.
Dalam pernyataan tuntutan, pasangan suami isteri itu mendakwa mereka memasuki perjanjian dengan D'Haja untuk tempoh dua tahun bermula 11 Oktober 2016 hingga 10 Oktober tahun ini dan melantik syarikat berkenaan sebagai pengedar eksklusif bagi produk minyak wangi dikeluarkan mereka.
Kedua-dua plaintif mendakwa selaras dengan perjanjian itu, mereka memesan 20,000 botol minyak wangi daripada Eree International Sdn Bhd dan membuat pembayaran berjumlah RM310,000 kepada Eree International melalui dua pembayaran masing-masing pada 11 Oktober 2016 dan 11 Januari 2017 untuk kos pengeluaran 20,000 botol minyak wangi itu.
Mereka mendakwa pada 12 Februari 2017, defendan menerima 20,000 botol minyak wangi daripada Eree International bagi pihak pasangan suami isteri itu dan melalui pesanan penghantaran itu, defendan mengesahkan menerima 20,000 botol minyak wangi dalam keadaan baik dan teratur serta menetapkan harga jualan sebotol minyak wangi pada harga RM55.
Kedua-dua plaintif mendakwa defendan gagal untuk memastikan 20,000 botol minyak wangi yang diterima daripada pengeluar berada dalam keadaan baik dan teratur serta gagal memulangkan 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak kepada mereka selain gagal menyediakan rekod transaksi jualan selaras dengan perjanjian berkenaan.
Dakwa plaintif, selepas didesak untuk memulangkan kesemua minyak wangi yang belum dijual, defendan memaklumkan kepada mereka terdapat 3,215 botol minyak wangi kononnya rosak dan dihantar semula kepada Eree International.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!