Imigresen Johor lanjut operasi kaunter jam 10 malam
JOHOR BAHRU - Waktu operasi bagi semua kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di seluruh negeri ini akan dilanjutkan sehingga jam 10 malam setiap hari berkuat kuasa serta-merta bermula Isnin.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu merupakan langkah awal diambil bagi menyelesaikan isu kesesakan orang ramai yang perlu beratur panjang untuk urusan mereka di jabatan tersebut.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas mengadakan pertemuan bersama Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir susulan lawatan kerjanya ke Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika di sini.
“Antara langkah-langkah penyelesaian awal untuk mengelak orang ramai bersesak dan beratur panjang dengan meningkatkan proses mengambil nombor giliran agar ia lebih dipermudahkan.
“Perbincangan dilakukan juga memutuskan untuk memastikan orang awam mendapat tempat menunggu yang lebih selesa sekiranya mahu berurusan dengan jabatan ini," katanya menerusi laman Facebook miliknya di sini, pada Isnin.
Jelasnya, bermula Isnin, operasi pejabat imigresen di seluruh Johor akan dilanjutkan sehingga jam 10 malam dan setiap Sabtu sehingga jam 12.30 tengah hari.
Onn Hafiz menambah, kaunter urusan imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Raya dan UTC Pasir Gudang pula akan beroperasi penuh tujuh hari seminggu.
“UTC Kota Raya dan Pasir Gudang kita dimaklumkan akan beroperasi tujuh hari seminggu iaitu dari jam 8 pagi hingga 10 malam,” ujarnya.
Sementara itu, dalam hantar Facebook yang berasingan, Onn Hafiz memaklumkan telah melakukan tinjauan di Kompleks KDN Setia Tropika.
Beliau berkata, hasil pemerhatiannya mendapati kesesakan orang ramai yang menunggu giliran untuk berurusan dengan jabatan itu telah berlaku sejak 1 Mei lalu dan ia perlu ditangani dengan secepat mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!