Luqman Hakim mohon maaf

Pemain negara Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin (kiri) mengawal bola ketika menentang pasukan Vietnam pada saingan Sukan SEA 2021 di Stadium Viet Tri. - Foto Bernama
Pemain negara Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin (kiri) mengawal bola ketika menentang pasukan Vietnam pada saingan Sukan SEA 2021 di Stadium Viet Tri. - Foto Bernama
A
A
A

PENYERANG skuad bawah-23 negara, Luqman Hakim Shamsudin memohon maaf atas kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan penentuan pingat gangsa Sukan Sea Hanoi 2021 yang menyaksikan Malaysia tumpas 4-3 kepada Indonesia.

Pemain yang berpangkalan di Belgium itu berkata, dia nyata kecewa selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti itu dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan tersebut.

"Saya amat kecewa dengan sepakan penalti yang diambil ketika perlawanan itu. Malaysia bermain baik dengan serangan demi serangan tetapi penalti saya dan Hadi tidak dapat bantu Malaysia raih gangsa.

"Saya minta maaf pada rakyat Malaysia, ibu bapa, penyokong bola sepak tempatan dan semua pihak,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional My Dinh Hanoi, penentuan pingat gangsa acara bola sepak melibatkan Malaysia dan Indonesia terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 90 minit permainan sebenar.

Pada penentuan sepakan penalti itu, percubaan Luqman Hakim dan Muhammad Hadi diselamatkan penjaga gol Ernando Ari Sutaryadi, manakala bagi Indonesia hanya Asnawi Mangkualam Bahar gagal menyempurnakan sepakan penalti setelah rembatannya menggegar palang.

Dalam pada itu, Luqman yang berjaya menjaringkan tiga gol pada temasya dwitahunan itu mahu segera melupakan kekecewaan tersebut sambil memberitahu bahawa dia mahu memperbaiki kelemahannya menjelang Kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada bukan hadapan.

“Saya perlu bangkit daripada kekalahan ini untuk fokus kepada saingan di Uzbekistan. Ini kerana banyak perlawanan perlu ditempuh, jadi saya perlu letak tepi kekecewaan ini dengan cepat.

“Saya tidak akan berputus asa dan akan berikan terbaik di Uzbekistan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!