Rasuah Busters pelengkap usaha kerajaan hapus rasuah
IPOH - Kempen Rasuah Busters akan menjadi pelengkap terhadap usaha kerajaan negeri dalam memerangi rasuah terutama di peringkat pentadbiran dan perkhidmatan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan dalam menangani gejala rasuah sebelum ini, namun masih banyak ruang setiap pihak boleh ambil peranan dalam menghasilkan penambahbaikan ke arah usaha itu.
Menurutnya, pendekatan menyeluruh daripada sudut penyertaan masyarakat, pihak berkuasa dan sesuai kumpulan sasaran akan dapat memastikan keberkesanan usaha-usaha yang dilaksanakan.
"Bila bercakap soal rasuah ini, bukan satu perkara yang baru, dah banyak orang bercakap mengenainya termasuk kempen-kempen, tetapi mungkin kerana keberkesanannya tidak maksimum, hasilnya tidak sebaik yang ingin kita kecapi.
"Saya lihat apa yang digerakkan Rasuah Busters ini melengkapkan lagi usaha-usaha yang sudah dilakukan kerana penyertaan daripada pelbagai kumpulan itu sudah ada.
"Jadi platform ini boleh dijadikan ruang mendidik, memupuk kesedaran antara satu sama lain untuk sama-sama berintegriti dalam budaya kerja," katanya ketika menerima kunjungan hormat Konvoi #RasuahBusters di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Konvoi diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin itu adalah bersempena siri jelajah ke Perak selama tiga hari bermula Ahad.
Nolee Ashilin berkata, masyarakat kini lebih terbuka dalam membincangkan isu-isu rasuah dan atas faktor itu pentingnya langkah segera dilakukan kerajaan dengan menjalin kerjasama erat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam gerakan menentang rasuah.
"Apa yang disarankan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) hari ini bukan sahaja sekadar melafazkan ikrar dan menandatangani aku janji, tetapi lebih penting adalah memahami bahaya rasuah itu sendiri dan kesannya kepada masyarakat.
"Adalah sangat perlu untuk kita memastikan pendedahan bahaya rasuah ini dididik supaya dapat dijadikan budaya khususnya dalam kalangan pegawai-pegawai sektor kerajaan," katanya.
Beliau mengakui, usaha membanteras aktiviti rasuah bukan mudah, namun perkara itu tetap perlu digerakkan bagi menjamin masa depan negara yang lebih baik.
"Untuk lebih efektif, kita tidak boleh bersandar usaha kerajaan sahaja, tetapi juga rakyat dan swasta. Saya lihat peranan itu ada menerusi kempen Rasuah Busters ini," katanya.
Rasuah Busters yang digerakkan sejak Februari 2021 memiliki kekuatan gabungan hampir 600 NGO berperanan menyebarkan mesej kesedaran anti rasuah kepada seluruh masyarakat di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!