Rumah penampungan sorok PATI digempur
RAWANG - Sebuah premis di Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya yang dipercayai dijadikan sebagai rumah penampungan untuk transit pendatang asing tanpa izin (PATI) digempur, pada Isnin.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, serbuan kira-kira jam 4 pagi oleh sepasukan Batalion 4 PGA itu bertindak menahan 27 PATI warga Indonesia termasuk seorang wanita.
"Pemeriksaan mendapati kesemua PATI terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
"Dipercayai PATI ini masuk melalui jalan laut menaiki bot dan tiba di kawasan pesisiran pantai di Klang, pada awal pagi Ahad," katanya kepada Sinar Harian, pada Isnin.
Beliau berkata, PATI terbabit kemudian dibawa menaiki sebuah lori berkanvas ke sebuah lot kedai yang dijadikan rumah penampungan sebelum diserbu pihak PGA.
Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti tempoh premis itu aktif.
"Kesemua PATI berusia 18 hingga 50 tahun dibawa ke Balai Polis Kundang untuk tindakan lanjut di
bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!