Maritim gagalkan cubaan seludup minuman keras bernilai RM325,000

Beberapa kotak minuman keras cuba diseludup dirampas pihak Maritim, pada Ahad.
Beberapa kotak minuman keras cuba diseludup dirampas pihak Maritim, pada Ahad.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM325,000 serta menahan seorang lelaki warga Nepal di Jeti Kanchong Laut, Banting pada Ahad.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, serbuan dibuat hasil maklumat risikan dan intipan berterusan terhadap aktiviti penyeludupan di Jeti Kanchong Laut pada jam 8.30 malam.

"Semasa pemantauan, kami mengesan sebuah bot pancung yang mencurigakan di jeti itu. Suspek memecut laju bot tersebut setelah menyedari kehadiran bot penguat kuasa.

"Suspek itu berjaya meloloskan diri dalam gelap pada kedudukan sekitar 0.3 batu nautika barat Pantai Morib," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Siva Kumar berkata, hasil pemeriksaan di jeti berkenaan menemukan sebuah lori berwarna merah dengan muatan berisi puluhan kotak minuman keras dan beberapa kotak ditemui di sekitar kawasan itu.

'Pemeriksaan lanjut, berjaya menemukan seorang lelaki bersembunyi di bawah lori berkenaan dan disyaki pekerja pemunggahan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Suspek dan hasil rampasan dibawa ke ibu pejabat Maritim Selangor untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta kastam 1967 dan Akta Imegrisen 1959/63.

Menurutnya, sebarang aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut boleh hubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!