Empat jam tunggu dapatkan nombor giliran
JOHOR BAHRU - Terpaksa beratur panjang sejak awal pagi dan perlu menunggu hampir empat jam bagi mendapatkan nombor giliran adalah cabaran perlu dihadapi orang ramai untuk berurusan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika, di sini.
Malah ada antara mereka yang tidak sempat bersarapan atau hanya berbekalkan sebungkus roti dan air kotak sementara menunggu.
Nur Hazwan Sharifulazman, 37, yang berurusan untuk mendapatkan maklumat mengenai pasport diperbaharui secara dalam talian berkata meskipun tiba jam 7.50 pagi, orang ramai sudah beratur panjang kira-kira 400 meter daripada pintu masuk kompleks berkenaan.
Pengurus Kemudahan di sebuah syarikat swasta di Singapura berkata orang ramai terlebih dahulu perlu mendapatkan nombor giliran di luar pintu masuk sebelum dibenarkan masuk ke perkarangan kompleks berkenaan dan perlu mengambil sekali lagi nombor giliran di kaunter disediakan mengikut urusan masing-masing.
"Sekitar 8 pagi ada pegawai imigresen beri nombor giliran kepada orang ramai yang menunggu di luar pintu masuk, ketika itu ramai juga orang beratur dan ada rezeki saya dapat nombor.
"Kalau diikutkan sejak jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, kira-kira empat jam kami masih lagi beratur untuk ambil sekali lagi nombor giliran di kaunter untuk berurusan di pejabat imigresen,” katanya ketika ditemui di kompleks berkenaan, di sini pada Isnin.
Dia meminta agar pihak berkaitan melihat semula pengurusan di kompleks berkenaan dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan isu seumpama itu tidak berulang lagi.
"Kalau kita lihat ada orang bawa anak kecil dan warga emas untuk berurusan di sini dengan cuaca panas terik. Jadi kena tengok balik langkah-langkah untuk tambah baik sistem,” katanya.
Mohd Nasiruddin Md Nazim, 31, yang juga mahu melakukan urusan sama berkata dia diberikan sebungkus roti dan air kotak oleh orang ramai kerana tidak sempat bersarapan.
"Saya ingatkan pergi awal pagi sudah terlalu awal, tetapi sampai sahaja orang ramai sudah beratur panjang.
"Walaupun urusan memperbaharui pasport dilakukan secara dalam talian tetapi proses untuk ambil (pasport) juga mengambil masa agak lama...saya pun datang hari ini untuk tanya maklumat sama ada pasport sudah siap atau belum kerana masih belum dapat pengesahan,” katanya.
Pekerja barista di sebuah restoran makanan segera di Singapura sejak 2011 itu berkata pihak berkaitan harus mencari jalan penyelesaian dengan kadar segera bagi memudahkan urusan orang ramai di kompleks berkenaan
Sebelum ini, tular di media sosial yang menunjukkan beberapa rakaman video memaparkan orang ramai beratur panjang di luar pintu masuk kompleks berkenaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga turun padang pagi tadi untuk meninjau situasi di kompleks berkenaan dan mengatakan bahawa keadaan itu dialami sejak 1 Mei lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!