'Luluh hati lihat ayah dipukul'
SHAH ALAM - "Dialah satu-satunya ayah yang saya ada di dunia ini," demikian luah seorang lelaki yang mendakwa sebagai anak kepada warga emas yang dipukul dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa pada Ahad.
Menerusi perkongsian dalam Facebook, pemuda yang mahu dikenali sebagai Muhammad Azzali Zainoldin itu berkata, hatinya luluh tatkala melihat rakaman video yang menunjukkan ayahnya dipukul penunggang motosikal tersebut.
"Assalamualaikum, terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada saksi dan orang awam yang cuba menyelamatkan pakcik tua tersebut.
"Sebagai anak yang menguruskan ayah saya yang sedang sakit buah pinggang (dialisis), luluh hati ini melihat dia dipukul. Adakah dia layak dipukul sebegitu rupa," katanya.
Katanya, dirinya turut kecewa melihat pelbagai kecaman yang dilemparkan netizen berkaitan kejadian.
"Sedih saya melihat penyebaran fitnah berlaku dengan mudahnya apabila pelbagai tuduhan diberikan," katanya.
Menceritakan mengenai kejadian berlaku, katanya ketika kejadian ayahnya sedang memandu dan sedia untuk menaiki jambatan dari jalan di bawah jambatan tersebut.
Jelasnya, ketika kejadian ibunya dan seorang anak buahnya berumur tiga tahun hanya mampu melihat kejadian tersebut berlaku.
"Mak dan anak buah (3 tahun setengah) yang berada di dalam kereta hanya mampu melihat seorang suami dan atoknya dipukul," katanya.
Menurutnya, ayahnya kini masih dalam keadaan lemah akibat kejadian.
"Ayah saya discaj daripada Hospital Shah Alam namun badannya masih sakit dan dia ada mengadu sakit pada bahagian rusuk kiri.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu, melindungi keselamatan ayah dari kejadian tersebut dari awal sehinggalah ke balai polis, tidak terbalas budi anda semua," katanya.
Pada Ahad, tular video yang dimuat naik di Facebook memaparkan seorang lelaki warga emas dipukul seorang penunggang motosikal dipercayai berlaku di Padang Jawa.
Tindakan penunggang motosikal tersebut kemudiannya berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!