Syamsul kecewa penyudah Kelantan United tumpul

SYAMSUL FOTO: Kelantan United Football Club
SYAMSUL FOTO: Kelantan United Football Club
A
A
A

PENGENDALI Kelantan United, Syamsul Saad kecewa dengan ketumpulan jentera serangan yang gagal menjaringkan gol dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.

Syamsul berkata, walaupun anak buahnya telah beraksi dengan baik dan mengikut perancangan, namun kegagalan menjaringkan gol menyekat hasrat pasukannya memperoleh mata penuh untuk mencabar pendahulu Liga Premier, Kelantan FC.

“Saya lihat kami mempunyai banyak peluang menjaringkan gol namun digagalkan dengan penyudah tumpul seterusnya terpaksa berpuas hati terikat tanpa jaringan atau tewas.

“Selepas ini pemain penyerang perlu lebih berani ketika melakukan penyudah ke gawang lawan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Kelantan United berada di kedudukan ketiga Liga Premier selepas mengumpul 14 mata hasil daripada empat kemenangan, dua seri dan dua kekalahan selepas mengharungi lapan perlawanan.

Syamsul berkata, semua pemain perlu menilai kelemahan diri masing-masing supaya menjadi semakin baik pada perlawanan seterusnya.

“Kami banyak mencipta peluang terutamanya dalam kotak penalti namun tidak digunakan sebaik mungkin. Saya sedikit kecewa dengan situasi ini kerana kami mempunyai sasaran tiga mata penuh dalam setiap perlawanan bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.

“Saya harap pemain bangkit kerana perlawanan liga masih panjang dan jika masalah ini tidak dapat diatasi sudah pasti pasukan akan dihukum,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!