Nik Ezanee kembali ke Bukit Aman
SHAH ALAM - Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal bakal memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail berkata, arahan pertukaran Nik Ezanee dikeluarkan pada 17 Mei 2022.
"Beliau akan mula bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bermula 1 Jun ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Nik Ezanee ketika dihubungi mengesahkan berkaitan perkara tersebut."Saya dah bincang dengan Pengarah JPJKK, saya akan lapor pada 1 Jun depan. Macam saya kata, kepakaran saya dalaman, apa yang ada dalam diri saya patut dicurahkan ke mana-mana jabatan.
"Alhamdulilah, saya teruja, tetapi saya kena pergi sana dan lapor sana dulu di JPJKK dan tengok tugasan apa semua dan lihat apa yang boleh saya tambah nilai dan tambah baik, " katanya.
Pada Isnin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain @Abd Rasid dilaporkan mengesahkan pertukaran bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Selangor itu.
Nik Ezanee yang merupakan Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri itu bertugas sejak Disember lalu.
Nik Ezanee sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!