KDEBWM sasar bina lima pusat kitar semula tahun ini
SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) menyasarkan untuk membina lima pusat kitar semula bahan (MRF) di lima lokasi di Selangor pada tahun ini.
Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, sebanyak tiga lokasi dikenal pasti untuk pembinaan MRF berkenaan di daerah Sepang, Kajang dan Hulu Selangor dan dijangka siap sebelum Disember tahun ini.
Manakala dua lagi lokasi pembinaan pusat berkenaan sedang melalui proses timbang tara dan dijangka siap dibina pada hujung tahun ini.
"Saya harap sebelum Disember depan, kita akan buka lima MRF, lagi dua pusat pula pada hujung tahun ini.
"Ditambah pula dengan dua MRF sedia ada, menjadikan jumlahnya sebanyak tujuh pusat. Kita sasarkan sebanyak 12 pusat MRF dibuka dalam tempoh setahun setengah ini," katanya ketika sidang media Rumah Terbuka KDEBWM di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Ramli turut mengulas tentang perancangan masa depan syarikat berkenaan ke arah menjaga kelestarian alam sekitar.
Ramli memaklumkan, pihaknya baru mendapat kelulusan daripada kerajaan Selangor untuk membina sebuah pusat pelupusan sampah yang menggunakan teknologi Waste to Energy (WTE) di Rawang.
Ramli mencadangkan untuk membina pusat tersebut yang dijangka mampu memproses sekitar 2,200 tan sampah bagi menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 36 hingga 40 megawatt (MW).
"Kita sedang buat kiraan akhir untuk melihat saiz pusat yang boleh dibina kerana teknologinya perlu dibeli dari luar negara bernilai sekitar RM500 juta hingga RM1 bilion, bergantung kepada saiz pusat tersebut.
"Kita ingin bina pusat janakuasa yang besar dengan mengambil kira jumlah janaan sampah makin bertambah pada masa akan datang jadi kita perlu ada teknologi tersebut bagi menjimatkan penggunaan tapak pelupusan sampah dan majukan pengurusan ini," katanya.
Namun begitu, Ramli berkata, pembinaan pusat WTE tersebut memerlukan beberapa perancangan rapi termasuk perbincangan dengan pihak terbabit seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk yang tinggal di sekitarnya.
Ujarnya, ia termasuk membuat kajian terperinci, mengenal pasi tanah yang sesuai untuk pembinaan pusat tersebut dan mendapatkan dapatkan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) untuk dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Kita diberi arahan untuk buat di sana, dari segi masa itu mungkin akan makan sedikit masa kerana ia memerlukan beberapa kajian.
"Mungkin ada juga penduduk yang menentang pembinaan pusat tersebut di sana, jadi sesi libat urus akan diadakan bersama mereka.
"Kita juga akan berhubung dengan semua pemegang taruh, pembayar cukai dan penduduk, pihak berwajib sebelum memulakan projek ini," katanya.
Pada Isnin, seramai 1,200 tetamu hadir memeriahkan Rumah Terbuka KDEBWM di sini yang turut dihadiri oleh beberapa Exco Negeri Selangor seperti Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Majlis tersebut turut meraikan 30 penghuni Rumah Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Al-Fareez, Keramat, Kuala Lumpur selain mengagihkan duit raya kepada mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!