Trend kekurangan bekalan makanan berlaku sejak 10 tahun lalu
SHAH ALAM - Trend kekurangan bekalan makanan atau bahan mentah dalam negara berlaku sejak 10 tahun lalu.
Pengarah Sekretariat Usahawan Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, malah, kekurangan bekalan makanan merupakan satu krisis yang berulang sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
“Kita mengakui bahawa negara sedang mengalami krisis bekalan makanan, belum krisis makanan.
“Di STeP sendiri juga banyak menerima maklum balas dan rungutan daripada usahawan kerana mereka ini yang menghasilkan makanan asas termasuk ayam, gula dan beras.
“Tetapi kalau kita lihat, krisis ini bukan berlaku sebulan, dua ini tetapi sebelum pandemik lagi dan banyak aspek yang menyumbang kepada krisis ini,” katanya dalam Wacana Sinar Harian Edisi 348 bertajuk Krisis makanan: Selamatkah Malaysia? pada Isnin.
Program tersebut juga menampilkan Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Perak, Ir Ts Kamarullaffie Ahmad, manakala, Dinnie Asyraf Salim sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Mohamad Rozlan berkata, kekurangan pekerja, petani dan penanam khususnya golongan muda antara yang menyumbang kepada krisis bekalan makanan yang berlaku ketika ini.
Menurutnya, kebanyakan daripada petani aktif ketika ini adalah mereka yang terdiri daripada golongan veteran dan sudah berumur.
Tambahnya, negara juga sudah mengalami pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu yang sepatutnya menyebabkan kadar pengangguran lebih tinggi.
“Jadi kita perlu melihat kenapa fenomena ini berlaku? Malah tahun lepas, ada dalam kalangan peniaga mula berbunyi dan mengeluh betapa sukarnya untuk mencari pekerja lebih-lebih lagi generasi muda.
“Apatah lagi nak cari dan melahirkan petani dan penanam muda.
“Jadi ini satu persoalan dan permasalahan adakah selama ini kita bergantung kepada sektor tenaga manusia luar?
“Atau adakah tenaga kerja kita yang sepatutnya menanam, terlibat dengan pertanian dan bahan mentah dalam industri ini di Malaysia, mereka lebih berminat dengan bidang yang lain?, jadi kita kena lihat perkara seperti ini,” ujarnya.
Tambah beliau, krisis bekalan makanan seharusnya dijadikan satu peluang kepada golongan usahawan untuk melibatkan diri dalam industri itu.
“Apabila kita berada di ambang krisis makanan, rakyat Malaysia atau usahawan seharusnya jadikan ini satu peluang.
“Ini kerana mereka perlu tengok daripada permasalahan, merupakan satu peluang mereka untuk jana pendapatan, inilah masanya untuk bersama-sama mengajak pemuda pemudi untuk menceburi bidang sekuriti makanan atau penanaman makanan ternakan.
“Ini supaya negara kita tidak menghadapi krisis bekalan makanan akan datang,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!