Sukan SEA Hanoi 2021 labuh tirai

Sukan SEA Hanoi 2021 melabuhkan tirainya secara rasmi pada majlis penutup yang diadakan secara tertutup di Cung Điền Kinh Mỹ Đình. Kontinjen negara memperoleh 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa melebihi sasaran disasarkan. Foto Bernama
Sukan SEA Hanoi 2021 melabuhkan tirainya secara rasmi pada majlis penutup yang diadakan secara tertutup di Cung Điền Kinh Mỹ Đình. Kontinjen negara memperoleh 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa melebihi sasaran disasarkan. Foto Bernama
A
A
A

SUKAN SEA Hanoi 2021 dengan rasminya berakhir dengan obor temasya itu dipadamkan, dalam majlis penutup yang penuh warna warni dan bertenaga di Hanoi Indoor Games Gymnasium, di sini malam ini.

Majlis malam ini bermula dengan persembahan muzikal dan kebudayaan, yang diikuti dengan nyayian lagu kebangsaan Vietnam ‘Doan Quan Viet-Nam Di’.

Majlis penutup edisi ke-31 itu penuh bertenaga, diwarnai dengan pertunjukan cahaya yang menakjubkan, dibahagikan kepada tiga bahagian - ‘My Hanoi, your love’, ‘Gathering’ dan ‘Shining’ - bagi menandakan permulaan semula aktiviti sukan di rantau ini, selepas terhenti sejak Mac 2020 akibat pandemik Covid-19.

Dengan gabungan lagu-lagu yang diaturkan pengarah muzik Huy Tuan, mengenai Hanoi termasuk ‘Hanoi on a windy night’, ‘Fragant Hanoi’, ‘Corner of Hanoi’ dan ‘October Hanoi’ dipersembahkan oleh artis seperti Dong Hung, Khanh Linh, Bao Tram dan Pham Anh Duy, yang dikoreografikan oleh Duong Dinh Hai.

Kontinjen atlet yang duduk di arena disambut dengan sorakan daripada penonton pada ketika bendera negara masing-masing dibawa masuk mengikut abjad bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan akhir sekali tuan rumah Vietnam.

Selepas perarakan masuk maskot, pengadil dan para sukarelawan, penonton dipersembahkan dengan tayangan video yang memaparkan sorotan aksi sukan SEA dari 6 Mei sehingga semalam, walaupun temasya dwitahunan itu secara rasminya bermula pada 12 Mei.

Selepas ucapan penutup oleh Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Ke-31 Nguyen Van Hung, Perdana Menteri Pham Minh Chinh mengistiharkan penutupan secara rasminya temasya itu.

Obor kejohanan kemudiannya dipadamkan dan bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan Sukan SEA Ke-31 diturunkan, sebelum bendera SEAGF diserahkan kepada tuan rumah Sukan SEA Ke-32 Kemboja.

Ini diikuti dengan persembahan kebudayaan daripada Kemboja dinamakan ‘Aspara dance’ - simbol budaya, jiwa dan identiti masyarakat Khmer.

Kemboja akan menjadi tuan rumah Sukan SEA buat kali pertama dari 5 hingga 17 Mei tahun depan, dengan 40 jenis sukan telah dinamakan dalam senarai awal.

Persembahan terakhir malam itu adalah persembahan perpisahan oleh Vietnam dengan tarian LED dan gabungan lagu-lagu rakyat Quan Ho - yang diiktiraf sebagai warisan oleh UNESCO, termasuk ‘Saying Goodbye’, ‘Inviting Betelnuts’, dan ‘Please Don't Leave’ yang dinyayikan oleh 100 artis tempatan Bac Ninh.

Malaysia menduduki tempat keenam selepas memenangi 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa, melepasi sasaran pingat 36-35-75, manakala tuan rumah mengungguli carta dengan kutipan pingat 205-125-116.

Ini merupakan kali kedua Vietnam menjadi tuan rumah Sukan SEA, selepas kejayaan edisi 2003, dengan kira-kira 10,000 peserta dari 11 negara bertanding untuk memenangi pingat dalam keseluruhan 525 acara daripada 40 jenis sukan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!