1,000 penduduk meriahkan sambutan raya Pasar Borong Sri Guchil
KUALA KRAI - Lebih 1,000 penduduk setempat berkongsi kegembiraan dengan menikmati pelbagai juadah Aidilfitri termasuk rendang serta ketupat yang dimasak secara bergotong-royong sempena Sambutan Hari Raya Persatuan Pemborong dan Peruncit Pasar Borong Sri Guchil di sini, pada Ahad.
Yang Dipertua Persatuan Pemborong dan Peruncit Pasar Borong Sri Guchil, Mohd Shukri Ishak berkata, program julung kali diadakan selepas dua tahun ancaman Covid-19 itu bertujuan memulihkan semangat peniaga yang sedikit luntur akibat mengharungi detik sukar semasa pandemik.
“Sudah agak lama tidak dapat bergaul mesra, peniaga pun ramai yang mengalami waktu-waktu sukar dalam perniagaan terutama pada musim pandemik.
“Sambutan diadakan pada tahun ini bertujuan merapatkan kembali silaturahim lebih 300 ahli persatuan dan peniaga dengan penduduk setempat di Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Isnin.
Hadir sama ke program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah yang juga penaung Persatuan Pemborong dan Peruncit Pasar Borong Sri Guchil.
Dalam pada itu Mohd Shukri berkata, keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini turut menyukarkan pemborong dan peruncit untuk meneruskan perniagaan mereka.
“Kami sendiri terbeban dengan keadaan semasa apabila harga barangan semua meningkat sehinggakan kadar sewa tapak perniagaan juga naik sebanyak 60 peratus berbanding sebelum ini.
“Kami berharap pihak kerajaan lebih prihatin terhadap nasib golongan peniaga dan bertindak segera supaya harga barangan tidak terus meningkat kerana boleh menyebabkan pendapatan berkurangan akibat tidak ramai pelanggan,” katanya.
Sementara itu, bagi yang ingin membantu peniaga kecil pasar borong boleh salurkan sumbangan ke akaun Persatuan Pemborong dan Peruncit Pasar Borong Sri Guchil di akaun Maybank 553029005642.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!