Struktur semula ekonomi, kurangkan kesan inflasi

Negara juga mengimport banyak sayur-sayuran dari pelbagai negara yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Azwardi)
Negara juga mengimport banyak sayur-sayuran dari pelbagai negara yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Azwardi)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan perlu segera memperkukuhkan atau menstruktur semula ekonomi berdasarkan kepada realiti dan sumber negara sedia ada.

Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, inflasi tidak mungkin dapat dihapuskan, sebaliknya kerajaan mampu mengurangkan kesan inflasi kepada negara dan rakyat.

Menurutnya, antara yang perlu diberi perhatian adalah meningkatkan penghasilan produk makanan dalam negara khususnya makanan asas seperti beras, sayur-sayuran dan bijirin menerusi pelbagai kaedah lebih komprehensif.

“Rakyat kini sudah celik ekonomi, inflasi diperkatakan di mana- mana sahaja kerana ia menyebabkan harga barang naik dan sudah tentu keadaan itu perit bagi kebanyakan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ekonomi negara kita berdepan masalah kerana terlalu cepat beralih kepada sektor perkhidmatan tanpa mempunyai pelbagai produk buatan sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Azwardi berkata, negara tidak mempunyai banyak produk yang dihasilkan sendiri dan terlalu bergantung kepada pelabur asing.

Oleh demikian katanya, kerajaan perlu menggerakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melabur dalam sektor pembuatan dan perkilangan produk.

“Malaysia terlalu cepat berubah dari negara pembuatan produk kepada perkhidmatan menyebabkan kita terlalu bergantung kepada eksport barangan buatan syarikat multinasional yang melabur di sini.

“Secara asasnya, kita tidak mempunyai produk kita sendiri walaupun ada beberapa syarikat multinasional seperti Proton, Perodua, Petronas dan Axiata, namun produk yang dihasilkan terhad,” katanya lagi.

Menurutnya, berbeza dengan ekonomi China yang dilihat sangat kukuh kerana mereka mempunyai pelbagai produk keluaran sendiri selain asas sektor perkilangan yang kuat.

Jelas Mohd Azwardi, kebergantungan kepada barangan import terutama produk makanan memburukkan lagi keadaan.

“Contohnya, pengeluaran beras negara tidak mampu penuhi keperluan dalam negara. Hampir 40 peratus daripada keperluan beras negara diimport dari Thailand, Vietnam, Kemboja dan India.

"Ini membimbangkan, apabila sudah ada negara menghentikan eksport barangan keperluan, seperti Indonesia yang menangguhkan eksport minyak sawit,” katanya.

Menurutnya, selain beras, negara juga mengimport banyak sayur-sayuran dari pelbagai negara yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit.

“Jumlah ini semakin meningkat saban tahun dan sudah tentu kadar inflasi negara juga bakal naik.

“Menteri Pertanian, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah umumkan nilai import makanan menunjukkan peningkatan 22.3 peratus menjadikan jumlahnya RM45.3 bilion pada 2015 kepada RM55.4 bilion pada 2021. Ini jumlah yang sangat besar,” ujarnya.

Beliau berkata, negara harus meningkatkan lagi pengeluaran beras sekurang-kurangnya kepada 80 peratus kerana beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia dan Asia.

“Sudah tiba masanya profesion pesawah diberikan nafas baharu. Mereka berkorban supaya rakyat dapat makan nasi.

"Seharusnya mereka diberikan elaun RM100 untuk setiap relung sawah yang diusahakan.

"Stigma pekerjaan sebagai pesawah bertaraf rendah perlu dileraikan. Mereka juga layak menikmati limpahan ekonomi kerana penting terhadap negara,” katanya.

Mohd Azwardi berkata, kerajaan perlu menjadikan sektor beras negara sebagai agenda utama dengan mewujudkan ekosistem beras yang kondusif dan kompetitif, antaranya memperkasakan lagi agensi seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam memantau kebajikan pesawah.

“Wujudkan rantaian bekalan racun, baja dan alatan mencukupi. Adakan sistem aduan secara terus antara pesawah dan Kementerian Pertanian untuk pastikan arahan dan tindakan berdasarkan keadaan sebenar pesawah,” katanya.

Menurutnya lagi, sayur-sayuran yang diimport sudah tentu memberi kesan kepada kenaikan harga melampau termasuk inflasi.

“Ia beri kesan langsung kepada rakyat. Kebanyakan rumah di kawasan kampung menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri. Tanaman hidroponik pula popular di perumahan bandar.

“Wujudkan satu sistem seperti Grab atau Food Panda untuk membolehkan penanam jual hasil kepada pembeli secara sistematik.

"Hasil berlebihan yang tidak dijual akan rosak tanpa nilai ekonomi. Walaupun usaha ini kecil namun mampu mengurangkan import sayur jika diurus dengan baik,” ujarnya.

Tegas Mohd Azwardi, rakyat mahukan tindakan segera dan bukan lagi kajian.

Tegasnya, keresahan rakyat harus dipandang serius oleh kerajaan.

“Penggunaan pendapatan terbahagi kepada tiga, iaitu pembelian barangan, simpanan dan pelaburan. Sudah tentu golongan tersebut tidak mampu menyimpan malah melabur.

"Bahkan pecahan B40, M40 dan T20 juga sudah berubah komposisinya. Sudah ada golongan M40 jatuh kepada kategori B40,” katanya.

Menurutnya, jurang pendapatan semakin menebal dan jika tidak ditangani sebaiknya bakal memberi impak buruk kepada negara dalam jangka masa panjang.

“Wang rakyat perlu diuruskan dengan baik dan semestinya mengikut acuan dan cara kita,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!