Tangmo Nida masih hidup?
BANGKOK - Kes kematian aktres Thailand, Tangmo Nida yang mencetuskan tanda tanya sehingga kini kembali mendapat perhatian peminat industri seni gara-gara akaun Facebook miliknya kembali aktif dan cuba memberi bayangan tentang kejadian sebenar yang menimpa dirinya.
Pendedahan terbaharu itu menyebabkan banyak pihak terkejut malah ada yang mendakwa ia dilakukan ibunya, Panida Siriyudthayothi, namun ia dinafikan peguam wanita tersebut.
"Saya disakiti oleh seorang teman yang saya sayangi dan percayai. Saya masih menunggu kebenaran daripada lima individu. Saya sendiri yang akan mendedahkan apa yang berlaku jika mereka tidak menceritakan hal sebenar.
"Jangan lupa, data panggilan yang dipadamkan boleh diperoleh semula," menurut kenyataan di akaun Facebook milik Tangmo seperti yang dipetik Bangkok Post pada Isnin.
Perkembangan terbaharu tentang kematian misteri Tangmo turut mendapat perhatian di TikTok sehingga menyebabkan pengguna platform tersebut membuat pelbagai spekulasi dan ada yang menyifatkan kisah sedih pelakon cantik itu sama seperti karakter dalam drama siri Korea berjudul Penthouse.
Tangmo Nida atau pemilik nama sebenar Nida Patcharaveerapong dilaporkan maut setelah terjatuh dari bot yang dinaikinya bersama lima individu di Sungai Chao Phraya dan mayatnya ditemui dua hari selepas insiden tersebut.
Sejak insiden itu, seramai 29 saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan, namun ia mencetuskan spekulasi selepas sebuah rakaman video terakhir didedahkan pengurusnya menjadi petunjuk baharu kematian mangsa.
Klip yang turut menjadi tular di TikTok itu menunjukkan Tangmo memegang segelas minuman sambil menyanyikan sebuah lagu dan membelai rambutnya.
Punca kematian wanita itu terus menjadi misteri selepas pengurusnya mengaku memberikan kenyataan palsu tentang apa yang sebenarnya pada malam kejadian pada awal April lalu.
Sebelum ini, tiga individu didakwa cuai menyebabkan kematian Tangmo dan pihak berkuasa turut memutuskan untuk menutup kes tersebut kerana dianggap 'telah selesai' walaupun terdapat bukti jelas mangsa dikasari berdasarkan kesan yang ditemui pada tubuhnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!