De Bruyne mahu tambah koleksi kejuaraan
TONGGAK tengah Manchester City, Kevin de Bruyne bertekad menambah koleksi kejuaraan di kabinet The Citizens selepas membantu penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengekalkan status kejuaraan musim ini.
Malah menurut perancang tengah The Citizens itu, keterujaan menjulang gelaran musim ini lebih bermakna sepanjang tujuh tahun berkhidmat di Stadium Etihad apabila berpeluang meraikan bersama para penyokong setia Manchester City.
"Para pemain dan penyokong-penyokong Manchester City telah banyak menjadi pendorong saya sepanjang perjalanan karier di sini. Saya telah berada di sini tujuh tahun dan menyayangi mereka.
"Saya masih ada tiga tahun lagi bersama pasukan dan akan terus kekal di sini dengan memenangi lebih banyak trofi.
"Sejujurnya ia amat menakjubkan apabila dapat meraih dan mengekalkan kejuaraan berprestij ini buat kali keempat di Manchester City," kata De Bruyne yang meledak 15 gol dan lapan bantuan gol.
Beliau sebelum ini turut dinobatkan selaku Pemain Terbaik EPL 2021/22 yang merupakan penghormatan kali kedua diraih pemain berusia 30 tahun itu selepas menerima pengiktirafan sama pada musim 2019/20.
Manchester City kendalian Pep Guardiola meraikan kejuaraan EPL keempat kelab itu bagi tempoh lima tahun dalam situasi dramatik apabila mencipta kebangkitan setelah ketinggalan dua gol untuk menewaskan Aston Villa 3-2 di Stadium Etihad.
Kemenangan itu menyaksikan The Citizens sekali lagi mengungguli kejuaraan bola sepak paling kompetitif dunia itu dengan kelebihan satu mata mengatasi pesaing terdekat Liverpool pada hari terakhir saingan liga.
Sementara itu, Guardiola yang menjadi pengurus asing paling berjaya dalam sejarah bola sepak Inggeris dengan kejuaraan liga keempatnya menyifatkan pencapaian dilakar gergasi Inggeris itu sebagai sesuatu yang menakjubkan dan luar biasa.
"Semua orang tahu ia adalah satu pencapaian yang luar biasa. Liga Perdana Inggeris adalah liga paling sukar dan kami telah membuktikan keupayaan memenangi empat kejuaraan liga dalam lima musim.
"Saya dapat lihat keterujaan di wajah para penyokong kelab ini ketika Manchester City meraih kejuaraan musim ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!