Op Pagar Laut tumpaskan jenayah rentas sempadan, rampasan RM22.9 juta

Antara individu yang ditahan dalam Op Pagar Laut. Gambar kecil: Mohd Zubil
Antara individu yang ditahan dalam Op Pagar Laut. Gambar kecil: Mohd Zubil
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan pelbagai kegiatan jenayah rentas sempadan dengan rampasan bernilai RM22.9 juta menerusi Op Pagar Laut.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, operasi khas tersebut dilancarkan sejak 19 April hingga 17 Mei lalu sempena musim perayaan dan memfokuskan kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), kontraband serta barangan kawalan di sempadan perairan negara.

"Sebanyak 63 kes direkodkan melibatkan pelbagai kesalahan. Seramai 48 PATI dari Indonesia, Vietnam, Kemboja, Myanmar, Filipina dan Thailand yang cuba masuk dan keluar secara haram melalui perairan ditahan.

"Kes pencerobohan perairan oleh bot nelayan asing pula merekodkan penahanan 15 bot serta 160 kru warga Vietnam," katanya ketika ditemui sempena majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini, pada Selasa.

Sementara itu Mohd Zubil berkata, kes berkaitan aktiviti jenayah kontraband dan penyeludupan barang kawalan merekodkan 13 kes yang melibatkan empat kes penyeludupan rokok di perairan Semporna, Sabah.

"Dua kes daun ketum seberat 2.18 tan di perairan Perlis, masing-masing satu kes penyeludupan minyak masak, petrol, dadah, mercun dan tong gas dengan nilai rampasan sebanyak RM448,860," katanya lagi.

Dalam pada itu Mohd Zubil berkata, pihaknya melakukan 23 kes tangkapan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 melibatkan sembilan bot nelayan tempatan.

"Enam kes Ordinan Perkapalan Saudagar serta lapan kes berkaitan Enakmen Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002," katanya.

Katanya, sebarang maklumat kegiatan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 atau mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) berhampiran di setiap maritim negeri seluruh negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!