Masjid Mukim Beris Pak Pura baharu bakal beri keselesaan 1,600 jemaah

Pembinaan Masjid Mukim Beris Pak Pura yang baharu sedang dalam pembinaan di Bachok. Foto Ihsan Masjid Beris Pak Pura
Pembinaan Masjid Mukim Beris Pak Pura yang baharu sedang dalam pembinaan di Bachok. Foto Ihsan Masjid Beris Pak Pura
A
A
A

BACHOK - Pembinaan bangunan baharu Masjid Mukim Beris Pak Pura, di sini yang bernilai RM3.5 juta dijangka dapat memberi keselesaan kepada 1,600 jemaah dalam satu-satu masa.

Pengerusi Masjid Mukim Beris Pak Pura, Ahmad Suhaimi Idris berkata, jumlah jemaah itu adalah lebih tinggi dapat ditampung oleh masjid berkenaan berbanding bangunan lama yang hanya dapat memuatkan 600 jemaah sahaja pada tempoh sama.

Menurutnya, pembinaan masjid baharu itu dijangka selesai pada 2024 namun berdepan kekangan kerana kekurangan dana.

“Bangunan Masjid Mukim Beris Pak Pura yang lama adalah lebih kecil dan sudah usang kerana berusia melebihi 60 tahun selain sudah tidak mampu untuk menampung bilangan jemaah yang ramai.

“Bermula pada pertengahan tahun 2021, pembinaan masjid yang baharu bernilai RM3.5 juta rancak dimulakan di tapak bersebelahan masjid lama dan masih diteruskan sehingga kini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Bangunan lama Masjid Mukim Beris Pak Pura di Bachok sudah usang dan perlu diganti baharu.
Bangunan lama Masjid Mukim Beris Pak Pura di Bachok sudah usang dan perlu diganti baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Suhaimi berkata, masjid baharu itu nanti akan dilengkapi dengan dewan solat utama, bilik mesyuarat, bilik pengurusan jenazah, dewan seminar dan pejabat.

“Sehingga kini, pihak masjid sudah membelanjakan hampir RM400,000 dengan pembinaannya sudah 25 peratus siap.

“Ketika ini, jemaah masih lagi menggunakan ruangan solat di masjid lama yang pernah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1969 untuk sementara waktu sehingga pembinaan masjid baharu siap dan dapat digunakan,” katanya.

Justeru, bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Masjid Mukim Beris Pak Pura menerusi Bank Islam 03018010168470 dan Bank Rakyat 111051000737.

Lakaran masjid baharu yang dijangka siap pada 2024.
Lakaran masjid baharu yang dijangka siap pada 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!