Bekalan ayam kurang, pengguna beralih ke ikan

Ramai pengguna beralih membeli ikan ekoran kesukaran mendapatkan ayam di pasaran pada masa kini. - Gambar hiasan
Ramai pengguna beralih membeli ikan ekoran kesukaran mendapatkan ayam di pasaran pada masa kini. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekalan ayam yang terhad sehingga menyukarkan orang ramai mendapatkannya menyebabkan ada segelintir daripada mereka tidak membeli bahan mentah itu pada masa kini.

Rata-rata orang ramai yang ditemui memberitahu mereka beralih kepada sumber protein lain terutama ikan.

Rohaizat Mat Kasaran, 53, berkata, bekalan ayam terhad di pasaran sejak Aidilifitri lalu menyebabkan berlaku peningkatan harga yang mendadak.

"Memang ketara kenaikan harga ayam dan lebih teruk lagi berlaku masalah bekalan. Tunggu keadaan elok sikit baru beli ayam, mungkin seminggu dua lagi.

" Ayam tiada sekarang ini, ganti dengan ikan dulu," katanya.

Sementara itu, Muhammad Uwais Imran Bahran, 22, berkata, sudah hampir seminggu dia dan keluarga beralih kepada ikan selepas ayam segar sukar diperolehi di pasaran.

"Sudah seminggu saya sekeluarga bertukar kepada ikan. Ayam segar bukan sahaja sukar dibeli malah harganya terlalu mahal. Seekor pun sudah RM25 hingga RM30.

"Pengguna selalunya beli dua tiga ekor ayam sekali gus, namun kerana harganya mahal ketika ini memang agak terbeban," katanya.

Nor Azizah Ahmad, 51, pula mengakui berlaku sedikit kenaikan harga ikan setelah ramai pengguna beralih kepada ikan ekoran kesukaran mendapatkan bekalan ayam di pasaran.

"Harga ikan seperti kembung ada peningkatan tetapi tidak banyak seperti ayam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!