Bekalan ikan kurang, harga meningkat

Kekurangan bekalan daripada pembekal terutama dari utara semenanjung menyebabkan bekalan ikan berkurangan.
Kekurangan bekalan daripada pembekal terutama dari utara semenanjung menyebabkan bekalan ikan berkurangan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Selain bekalan ayam, bekalan ikan di bandar raya ini turut berkurangan menyebabkan berlaku sedikit peningkatan harga sekitar RM1 sehingga RM4 sekilogram.

Penjual ikan di sebuah pasar basah di Pandan yang mahu dikenali sebagai Ong berkata, bekalan ikan dan hidupan laut berkurangan 50 peratus berbanding sebelum ini menyebabkan harganya meningkat.

Katanya, pembekal memaklumkan bekalan diperoleh tidak banyak memandangkan faktor cuaca selain kos pengangkutan yang semakin mahal.

"Ikan pilihan ramai seperti kembung, cencaru dan selar kuning mengalami masalah bekalan. Kebanyakannya diperoleh dari pembekal di Perak.

"Sekarang ini kembung susah nak dapat walaupun orang ramai cari. Minggu lalu, kembung masih ada dan dijual antara RM18 hingga RM20 sekilogram (kg) berbanding hanya RM14 hingga RM16 sebelum ini.

"Ikan selayang pula sekarang RM15.50 sekilogram berbanding hanya RM11 manakala cencaru pula naik ke RM11 berbanding hanya antara RM8 hingga RM9 sekilogram," katanya.

Tinjauan di sebuah pasar basah di Pandan mendapati berlaku kekurangan ikan dan hasil laut tidak seperti sebelum ini.
Tinjauan di sebuah pasar basah di Pandan mendapati berlaku kekurangan ikan dan hasil laut tidak seperti sebelum ini.

Peniaga ikan yang dikenali sebagai Firdaus pula memberitahu sotong pula mengalami lebihan penawaran berikutan musim sotong di Mersing ketika ini.

Katanya sotong dijual mengikut saiz yang mana bagi saiz kecil dijual serendah RM15.50 sekilogram.

"Bekalan ikan dari Mersing di sini, pula membabitkan ikan besar yang memang mahal harganya. Bagaimanapun bagi bekalan ikan, pembekal memaklumkan ia akan pulih dan harganya akan kembali stabil," katanya.

Sebelum itu, pada Ahad lalu, media melaporkan pendaratan ikan terutama di utara semenanjung dilaporkan berkurangan sehingga 70 peratus iaitu daripada lebih sejuta tan kepada hanya kira-kira 300,000 tan sebulan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamis Bahari dilaporkan berkata, kekurangan bekalan itu menyebabkan harga ikan di pasaran turut meningkat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!