Permudah kemasukan pekerja asing dalam sektor ternakan ayam
JOHOR BAHRU- Isu bekalan ayam terhad dijangka tidak berlarutan sekiranya kerajaan memudahkan kemasukan pekerja asing khususnya kepada penternak yang berdepan masalah pekerja di ladang.
Setiausaha Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor, Lau Ka Leng berkata, walaupun kerajaan memberi jaminan harga dan pengeluaran ayam akan kembali stabil, namun isu pekerja di ladang ternakan lebih kritikal dan memerlukan perhatian serius.
"Di Johor sahaja terdapat lebih 700 penternak ayam. Dianggarkan lebih 10,000 ribu pekerja diperlukan di ladang ternakan. Kebanyakan pekerja di ladang merupakan pekerja asing dari negara jiran seperti Indonesia dan Bangladesh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.
Menurut Ka Leng, sekiranya kemasukan pekerja asing ke negara ini dilakukan dalam masa terdekat, industri ternakan ayam akan pulih sekali gus masalah bekalan bahan mentah itu dapat di atasi sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.
Menerusi mesyuarat kabinet pada Isnin, beberapa langkah digariskan terhadap isu bekalan serta harga ayam termasuk eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan bermula 1 Jun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, larangan tersebut dibuat sehingga harga dan pengeluaran ayam dalam negara kembali stabil.
Selain itu, kerajaan akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi kerajaan yang lain.
Turut digariskan ialah pemansuhan approved permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam; mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam; serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan ayam di luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!