Kajian wajibkan pemasangan ABS ke atas motosikal bakal dijalankan

Ka Siong (depan, tiga dari kiri) melihat kesan pelanggaran antara sebuah motosikal dengan sebuah kereta selepas ujian pelanggaran motosikal ABS dijalankan pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Makmal Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) PC3 pada Selasa. - Foto Bernama
Ka Siong (depan, tiga dari kiri) melihat kesan pelanggaran antara sebuah motosikal dengan sebuah kereta selepas ujian pelanggaran motosikal ABS dijalankan pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Makmal Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) PC3 pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Satu kajian terperinci bagi mewajibkan pemasangan sistem brek antikunci atau anti-lock braking system (ABS) kepada semua motosikal baharu akan dijalankan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pemasangan sistem itu akan melibatkan semua motosikal baharu berkapasiti enjin 150cc dan ke atas.

Menurutnya, kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) itu dijangka selesai dalam enam bulan, manakala pelaksanaan mewajibkan pemasangan sistem ABS dijadualkan dalam tempoh dua tahun dari tarikh tamat kajian tersebut.

"Tempoh yang sama juga akan digunakan untuk meminda peraturan sedia ada bagi tujuan mewajibkan pemasangan ABS ini.

"Tapi saya tegaskan ia bukan dibuat secara mendadak atau tergesa-gesa. Tidaklah umum hari ini, esok terus dilaksanakan. Kita beri enam bulan untuk Miros buat kajian, bincang dengan wakil pengguna, pemegang taruh serta pihak industri pembuat motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-10 Miros di Makmal Pelanggaran Miros PC3, Ayer Molek di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Miros, Profesor Dr Wong Shaw Voon, Ketua Pengarah Miros, Datuk Khairil Anwar Abu Kassim dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Katanya, pelaksanaan mewajibkan sistem ABS itu akan dilakukan secara berfasa dan sekiranya berkesan, ia akan diteruskan kepada motosikal berkapasiti enjin rendah daripada 150cc.

Ka Siong berkata, langkah itu mampu mengurangkan kemalangan dan kematian membabitkan pengguna motosikal sehingga 30 peratus.

Menurut Ka Siong, faktor utama kemalangan motosikal di negara ini adalah terbabas sendiri atau gagal mengelak ketika menunggang antaranya disebabkan oleh sistem brek yang tidak efektif.

"Justeru, sistem ABS yang mengguna pakai teknologi antigelincir (antiskid) ini akan membantu untuk menghalang motosikal daripada tergelincir, terbabas dan gagal mengelak ketika menunggang sekali gus menambah baik tahap keselamatan motosikal di Malaysia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!