DUN Pulau Pinang kembali bersidang di bangunan Lebuh Light
GEORGETOWN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan diadakan kembali di Bangunan DUN di Lebuh Light di sini selepas ditutup untuk kerja pemulihan sejak 2019.
Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN ke-14 secara fizikal itu dijadual dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 27 Mei dan bersambung pada 30 Mei hingga 3 Jun.
"Para media dijemput menghadiri persidangan dan membuat liputan seperti sebelum pandemik Covid-19 berlaku.
"Mereka perlu membuat ujian saringan kendiri Covid-19 sebelum memasuki bangunan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard semasa membuat liputan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Bagaimanapun, Choo Kiang berkata, jumlah soalan lisan, soalan bertulis dan usul akan diumumkan pada Jumaat ini ketika persidangan DUN.
Bangunan DUN yang berada dalam Zon 1 Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) George Town telah ditutup untuk kerja-kerja menaik taraf dengan kos RM3.67 juta yang melibatkan ruangan bumbung, siling, kerja-kerja mekanikal, elektrik dan hiasan dalaman di Dewan Persidangan sejak 2019.
Kali terakhir Pulau Pinang mengadakan sidang DUN secara fizikal adalah pada 30 Ogos lepas yang berlangsung selama tiga hari, namun wakil daripada Buletin Mutiara, Buletin Bulanan dan laman web rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang sahaja dibenarkan menghadiri persidangan itu secara fizikal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!