Larangan eksport ayam hanya sementara: MAFI

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bercakap kepada media semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini. Foto Bernama.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bercakap kepada media semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini. Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Larangan eksport 3.6 juta ekor ayam sebulan ke negara luar adalah bersifat sementara dan hanya akan dinilai semula selepas bekalan ayam dalam negara kembali stabil, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ronald berkata, larangan eksport itu perlu dilakukan bagi memastikan bekalan ayam dapat distabilkan segera dan kerajaan akan terus melakukan pemantauan.

"Keperluan bekalan ayam dalam negara adalah lebih kurang 1.8 hingga 2 juta sehari. Jadi langkah (sekat eksport) merupakan langkah sementara yang akan dikaji sebaik sahaja bekalan ayam negara kembali stabil. Ini untuk memastikan kita boleh capai keperluan negara.

"Kita akan pantau (bekalan ayam). Perlu faham ayam memerlukan 35 hingga 40 hari (kitaran tumbesaran sebelum boleh dijual," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan belum bercadang menubuhkan pasukan khas bagi memantau bekalan ayam.

"Kita akan wujudkan jika perlu (pasukan khas). Ketika ini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dipertanggungjawabkan untuk melihat keadaan ini dan memantau setiap masa.

"DVS memang berfungsi untuk melihat pengeluaran ayam dan juga ternakan lain," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, industri ayam dan telur merupakan industri yang stabil di negara ini, namun beliau mengakui wujud kekurangan bekalan disebabkan beberapa masalah seperti mana yang dilaporkan.

"Kita mengalami sedikit kekurangan di pasar borong, pasar tani, namun kerajaan telah membenarkan ayam bulat diimport sejak Februari lalu bagi mengatasi kekurangan bekalan," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang meneliti permohonan loji pengeluaran ayam dari beberapa negara, mengeksport bekalan ayam di negara ini.

"Kita juga sedang dalam proses menyambung semula pentauliahan 17 loji pengeluar ayam sedia ada di beberapa negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!