PKR Perak harap keputusan pemilihan disegerakan
IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengumumkan segera keputusan pemilihan di peringkat Cabang.
Timbalan Pengerusinya, Datuk MA Tinagaran berkata, gesaan itu dibuat susulan terdapat pelbagai spekulasi mengenai keputusan pemilihan di media-media sosial.
Menurutnya, calon-calon mendakwa mereka sudah memenangi pertandingan itu sedangkan keputusan belum diumumkan.
"Keadaan ini tidak begitu baik untuk parti memandangkan ia mencetuskan suasana tidak selesa dalam kalangan pemimpin yang bertanding dan penyokong.
"Ramai calon-calon di Perak ini meluahkan rasa kurang senang dengan kelewatan pengumuman keputusan pemilihan ini. Secara tidak langsung ia boleh menghakis kepercayaan serta integriti proses pemilihan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tinagaran berkata, kelewatan keputusan itu menimbulkan syak wasangka dalam kalangan calon kerana pengundian dibuat secara atas talian sepatutnya boleh diumumkan segera.
Katanya, ramai yang bimbang keputusan boleh dimanipulasi jika lewat diumumkan.
"Sebelum ini kita marah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kalau lambat umum keputusan, tapi apabila kita buat pemilihan perkara itu tak berlaku.
"Apabila terhakisnya kepercayaan, tidak mustahil pada pemilihan akan datang, jumlah yang keluar mengundi akan semakin berkurang," katanya.
Tinagaran yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua PKR Cabang Ipoh Barat berkata, perkara ini perlu dilihat dengan mendalam bagi mengelak berlaku perpecahan dalam kalangan ahli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!