MOSTI bantu penternak kurangkan kos ternakan
GEORGETOWN - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan berjumpa para penternak di seluruh negara dalam usaha mendidik mereka menggunakan teknologi untuk membantu mengurangkan kos ternakan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihaknya telah merancang teknologi yang perlu dan sesuai digunakan oleh penternak di Malaysia, selain berbincang dengan pihak penternak mengenai kaedah untuk mengurangkan kos penternakan.
"Kita akan melihat ada peluang peringkat di mana untuk menurunkan kos ternakan... mungkin dengan penggunaan teknologi contohnya seperti rumah hijau atau ladang ternak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jerayawara MYStartup di sini pada Selasa
Beliau berkata, MOSTI akan turut membantu para penternak dalam bahagian pentadbiran dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau internet perkara (IoT) sekiranya kaedah pertanian pintar diguna pakai.
Sementara itu, Dr Adham berkata, MOSTI menerusi Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) akan melancarkan program MYHackathorn edisi 2022 pada Jun ini iaitu sebuah program mencari penyelesaian permasalahan perkhidmatan dalam talian kerajaan atau swasta.
Katanya, MOSTI menyasarkan lebih banyak inovasi oleh syarikat-syarikat pemula untuk menambah baik sistem penyampaian kerajaan.
"MOSTI menyasarkan lebih daripada 300 penyertaan untuk program MYHackathorn tahun ini dan kita telah memperuntukkan RM2.5 juta yang akan diberikan kepada 10 pemenang yang terpilih," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!