Davies tidak kekok berlatih bawah Pan Gon

Matthew Davies
Matthew Davies
A
A
A

TONGGAK pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies tidak kekok ketika kali pertama berlatih di bawah pengendali Kim Pan Gon walaupun sudah terbiasa dengan pengendali terdahulu Tan Cheng Hoe.

Malah, pemain kacukan Australia-Malaysia itu berasa selesa dengan pendekatan yang dibawa Pan Gon meskipun baru beberapa hari menyertai kem latihan pusat menjelang saingan kelayakan Piala Asia 2023 bulan depan.

"Ia sangat mengujakan (berlatih dengan Pan Gon), saya tidak tahu apakah perbezaannya (berlatih di bawah Cheng Hoe) apa yang saya boleh kata beliau berjaya memberikan tanggapan pertama yang baik kepada anak-anak buahnya.

"Beliau percaya kepada anak-anak buahnya, saya rasa beliau telah melakukannya dengan baik dalam masa singkat, katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pada Selasa.

Beliau berkata demikian apabila ditanya perbezaan berada di bawah Cheng Hoe dan adakah beliau selesa bersama Pan Gon.

Dalam pada itu, Davies berkata, pengalaman selama tujuh tahun sebagai pemain turut memberi keyakinan kepadanya membuktikan kemampuan bagi mendapatkan kepercayaan Pan Gon untuk menyarung jersi pasukan negara.

"Tiada apa hendak dibuktikan, jika kami lakukan yang terbaik maka kami akan dapat beraksi di padang, sebagai pemain kami semua mahu memberikan aksi permainan terbaik kami,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid berkata, harapan tinggi penyokong untuk melihat pasukan negara mencipta kejayaan akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberikan yang terbaik seawal aksi pemanas badan menentang Brunei Jumaat ini.

Katanya, bermain di halaman sendiri sambil mendapat sokongan padu penyokong turut memberi kelebihan kepada pasukan negara untuk menampilkan persembahan terbaik

"Mungkin kami ada tekanan tapi kami tetap akan usaha 100 peratus ketika bermain di tempat sendiri sebab sokongan penonton akan beri kelebihan pada pasukan,” katanya.

Selain berhadapan Brunei, Harimau Malaya dijadual menentang Hong Kong pada 1 Jun dalam perlawanan persahabatan sebelum memulakan cabaran kelayakan Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dari 8 hingga14 Jun.

Pada saingan kelayakan itu, skuad Harimau Malaya yang diundi dalam Kumpulan E akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh pada 14 Jun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!